Oleh Mohamad Asyramisyanie
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Ogos – Dua atlet renang berirama Brunei Darussalam buat kali pertama turun ke pertandingan di peringkat serantau di Sukan Asia Tenggara ke-29 Kuala Lumpur, menyaksikan Jaqueline Lim Guan Fan dan Nur Hafizah Ahmad menyertai acara itu di Pusat Akuatik Kebangsaan di Bandar Sukan Kuala Lumpur, Malaysia hari ini.
Duet renang berirama negara hari ini meraih 50.9759 mata untuk meraih tempat kelapan dan dalam penyertaan kali ini duet berkenaan diberikan 15.3 markah bagi Execution, 15.6 bagi Artistic Impression dan 20.0759 bagi Element.
Menurut Koordinator merangkap pengurus pasukan renang berirama Brunei, Awangku Abdul Farid Pengiran Idrus menegaskan tidak banyak yang disarankan dalam penyertaan sulung ini namun menurutnya kita boleh berbangga dengan penyertaan duet kita di temasya sukan kali ini.
“Penyertaan pertama ini mereka menunjukkan persembahan yang terbaik untuk berhadapan barisan perenang yang lebih berpengalaman dan saya yakin kita boleh mempertingkatkan lagi pencapaian di masa akan datang,” ujarnya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya lagi, duet negara menyertai beberapa acara lagi Ahad ini nanti dan beliau mengharapkan supaya mereka (para perenang) akan terus fokus dan meninggalkan bahagian Rutin Teknikal duet ini untuk acara seterusnya.
“Kedua-dua perenang kita perlu positif untuk meneruskan cabaran mereka dan dihasratkan mereka akan mencuba sebaik mungkin pada acara kedua iaitu Free Duet nanti, dan apa yang kami perlu buat adalah meneliti pencapaian hari ini serta mencari sudut yang perlu diperbaiki untuk Ahad ini nanti,” ujar Awangku Abdul Farid lagi.
Menurutnya kedua-dua perenang sudah memberikan cabaran yang terbaik dan telah menjalani latihan segigihnya untuk ke tahap ini, apa yang penting adalah untuk tidak gementar dan jurulatih negara Nur Anna Muin percaya Jacqueline lim dan Nur Hafizah Ahmad mampu membuat kejutan.