Wednesday, October 30, 2024
29 C
Brunei

    Berita Terkini

    Atlet RTG digesa raih emas

    KUALA LUMPUR, 16 JULAI – Atlet di bawah projek Road To Gold (RTG) tidak mempunyai pilihan selain memenangi emas yang diidam-idamkan Malaysia pada Sukan Olimpik 2024 di Paris. 

    Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Mohd Nazifuddin Najib menegaskan hal itu bagi mewajarkan pelaburan ketara kerajaan dalam menyiapkan atlet-atlet terlibat untuk mencipta sejarah pada temasya sukan terbesar dunia itu.

    “Kita mesti mencapai ini (menyumbang emas)…program itu bukan untuk Paris 2024 sahaja malah menyasarkan Los Angeles 2028 (LA 2028) dengan persediaan sudah pun berjalan.

    “Sama ada kita boleh capai atau tidak, ia sangat bergantung pada atlet kita ketika hari pertandingan,” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan penjaaan daripada Milo kepada MOM, di sini, hari ini.

    Projek RTG yang diperkenalkan oleh Kementerian Belia dan Sukan tahun lepas, bertujuan menyelaraskan usaha dalam misi membawa pulang pingat emas Olimpik pertama Malaysia dengan fokus pada edisi Paris 2024 atau LA 2028. 

    Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib (kanan) semasa sidang media pada majlis memperkenalkan penajaan MILO untuk Sukan Olimpik Paris 2024 di Wisma OCM pada 16 Julai. – Bernama

    Setakat ini, RM25 juta telah dibelanjakan untuk projek itu meliputi elaun bulanan tambahan RM3,000 berserta sokongan sains sukan, pendedahan kejohanan dan kejurulatihan.

    Antara atlet RTG yang akan bertanding di Paris 2024 termasuk jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang; juara dunia beregu lelaki 2022, Aaron Chia-Soh Wooi Yik; dan atlet angkat berat, Mohamad Aniq Kasdan.

    Beliau turut mengingatkan kontinjen negara, termasuk atlet, agar tidak bergaul dengan orang awam semasa Sukan Olimpik atas sebab keselamatan, susulan ketegangan politik di Perancis.

    Selain itu, Mohd Nazifuddin berkata jumlah penajaan yang diterima bagi edisi kali ini melebihi Tokyo 2020. 

    “Saya tidak dapat memberikan angka yang tepat tetapi apa yang boleh saya katakan lebih banyak (daripada Tokyo 2020) kerana kami mempunyai penaja baru. Semasa COVID-19, tidak banyak syarikat yang berminat untuk menaja tetapi kini saya fikir minat terhadap sukan telah meningkat,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda