Oleh Ak Zaki Kasharan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 JULAI – Negara Brunei Darussalam akan menghantar kontinjen negara bagi menyertai Sukan Belia Komanwel ke-7, Trinidad & Tobago 2023 yang akan diadakan secara rasmi bermula pada 4 hingga 11 Ogos nanti.
Kontinjen negara dianggotai oleh lapan orang yang terdiri daripada empat orang atlet dan empat orang pegawai termasuk chef de mission, ketua urus setia, pegawai utama keselamatan dan jurulatih.
Sehubungan itu, Majlis Penyerahan Bendera Negara kepada kontinjen Negara Brunei Darussalam yang menyertai Sukan Belia Komanwel ke-7 itu telah diadakan pagi tadi di Dewan Digadong, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) di ibu negara.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad.
Aturcara majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Pegawai iReady Pembantu Imam Pusat Pembangunan Belia, Awang Muhd Irfan bin Haji Ali Akhbar diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Setiausaha Tetap (Kesukanan) KKBS, Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/08/P24-A-Gambar-oleh-Ak-Zaki-Kasharan_01082023.jpg)
Kemuncak majlis ialah sabda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam yang disampaikan oleh Timbalan Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, Haji Mohd Zamri bin Dato Paduka Haji Hamdani.
Dalam sabda Duli Yang Teramat Mulia, antara lain merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, melalui KKBS, atas sokongan yang diberikan kepada Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam.
Duli Yang Teramat Mulia turut bersabda mengucapkan tahniah kepada atlet-atlet negara yang terdiri daripada atlet sukan renang yang telah terpilih iaitu dua atlet lelaki menerusi Joel Ling Thai Yu dan Zeke Chan Zhi Yue serta dua atlet perempuan menerusi Hayley Wong dan Sharmeen binti Mohammad Mharvin.
Duli Yang Teramat Mulia bersabda bahawa meskipun penyertaan negara kali ini hanya dalam satu acara sukan sahaja, namun Duli Yang Teramat Mulia yakin bahawa atlet-atlet yang terpilih adalah antara yang terbaik dalam sukan renang dan mengharapkan mereka akan mempamerkan semangat juang dan daya saing yang tinggi dalam meningkatkan prestasi pencapaian mereka.
Para atlet yang akan menyertai Sukan Belia Komanwel berkenaan diseru supaya melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan memberikan tumpuan yang serius semasa pertandingan dan tidak sekali-kali
memikirkan yang pemergian mereka adalah sekadar untuk bertanding sahaja.
Apa yang utama sabda Duli Yang Teramat Mulia ialah para atlet perlu fokus dan sentiasa komited untuk memberikan yang terbaik dan tidak mudah menyerah kalah yang mana ia adalah satu komitmen yang harus dipikul dan ditunaikan oleh mereka bagi meraih kecemerlangan seterusnya mengharumkan nama negara.
Sebelum mengakhiri sabda, Duli Yang Teramat Mulia turut mendoakan semoga para atlet, jurulatih dan pegawai, yang akan mewakili negara, ke Sukan Belia Komanwel akan sentiasa dalam keadaan sihat walafiat dan dalam peliharaan Allah SWT.
Majlis kemudian diteruskan dengan penyerahan bendera Negara Brunei Darussalam yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi kepada Timbalan Pengarah Belia dan Sukan, Haji Mohamad Rosfazilah bin Haji Yusly, selaku Chef de Mission kontinjen Negara Brunei Darussalam ke acara Sukan Belia Komanwel ke-7.
Sementara itu, Doa Selamat dibacakan sebelum majlis disusuli dengan sesi bergambar ramai bersama para kontinjen negara.
Pada Edisi Sukan Belia Komanwel kali ini, Negara Brunei Darussalam akan menyertai satu acara sukan yang dipertandingkan iaitu sukan renang.
Kali terakhir negara menyertai Sukan Belia Komanwel ialah pada tahun 2015 di Samoa.
Kontinjen negara dijangka bertolak ke Trinidad & Tobago esok (1 Ogos).