Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 JULAI – Atlet tinju, King Alif dari pusat gymnasium, King of the Gym Brunei kini menyertai Kejohanan Tinju Kebangsaan Malaysia 2025 yang berlangsung di Dewan Kebudayaan, Penampang, Sabah mulai hari ini 13 hingga 19 Julai.
Kejohanan tersebut menghimpunkan penyertaan dari pelbagai negeri di Malaysia seperti Pahang, Selangor, Melaka, Kuala Lumpur dan lain-lain dengan Sabah menjadi tuan rumah bagi edisi kali ini.
Kejohanan tersebut bukan sahaja menjadi medan persaingan sihat antara negeri-negeri dan peserta jemputan, malah turut memperkukuhkan hubungan sukan antara Malaysia dan Brunei.
Penyertaan King Alif mewakili Brunei membuktikan perkembangan positif sukan tinju negara serta pengiktirafan terhadap mutu latihan dan pencapaian atlet tempatan di peringkat serantau.
King Alif dijangka akan menampilkan aksi bertenaga dalam usahanya mengharumkan nama Brunei di pentas antarabangsa melalui sukan tinju.
