Oleh Fadhil Yunus –
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 NOV – Atlet veteran tempatan daripada Persatuan Olahraga Veteran Brunei Darussalam mengharumkan nama negara selepas memenangi dua pingat emas, satu perak dan tiga gangsa dalam Kejohanan Olahraga Veteran Terbuka Antarabangsa Johor-Singapura 2024 yang berlangsung di Stadium Mt Austin di Johor Bahru, Malaysia baru-baru ini.
Alinawati binti Haji Aliakbar dan Ampuan Mohd Abdul Khifli bin Ampuan Haji Damit masing-masing memenangi pingat emas dalam acara lontar peluru dan lempar cakera.
Sementara itu, Hajah Mariah binti Haji Matussin meraih tiga pingat termasuk satu pingat perak dalam acara rejam lembing dan dua pingat gangsa dalam acara lontar peluru dan lempar cakera.
Pemenang pingat negara yang lain ialah Omar bin Kahar yang meraih pingat gangsa dalam acara berjalan kaki sejauh 3 kilometer.
Persatuan itu, yang terdiri daripada lapan peserta diketuai oleh Haji Abu Bakar bin Haji Pungut selaku pengurus pasukan.
Pertandingan itu menyaksikan lebih 400 peserta dari dalam dan luar negara.
Brunei juga menerima anugerah sebagai negara yang aktif dan berdisiplin.
Kejohanan seterusnya akan diadakan di Bangkok, Thailand pada Februari 2025.