Tuesday, October 8, 2024
22.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Atlet Wushu julang nama negara

    Oleh Mohamad Asyramisyanie

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Ogos – Dua peserta wushu Negara Brunei Darussalam berjaya mengharumkan nama negara hari ini apabila berjaya meraih pingat perak dan gangsa dalam acara masing-masing di Sukan Asia Tenggara (SEA) ke-29 di Kuala Lumpur.

    Basma Lachkar dalam acara Women’s Compulsory 3rd Taijiquan (Individual) mempamerkan persembahan terbaiknya apabila berjaya meraih pingat perak dengan kutipan mata 9.54.

    Dan hanya beberapa mata di belakang peserta Filipina, Agatha Chrystenzen yang berjaya meraih pingat emas, manakala pingat gangsa disandang oleh peserta Singapura, Ling Yin HO.

    Sementara itu, rakan sepasukannya di dalam acara yang sama, Ang Guat Lian turut menunjukkan semangat juang tinggi meskipun tidak berjaya meraih kemenangan.

    Sementara itu Mohd Sufi Shayiran dalam acara Men’s Optional Nanquan (Individual) sebelum itu turut naik ke podium apabila berjaya meraih pingat gangsa dengan mata 9.65, di belakang peserta Malaysia Ho Mun Hua yang berjaya meraih pingat emas, manakala pingat perak dimenangi peserta Vietnam Pham Quoc Khanh.

    Ketika dihubungi, jurulatih wushu kebangsaan, Li Hui menyatakan kejayaan kedua-dua peserta hari ini adalah pencapaian terbaik kedua-dua atlet negara tersebut dan membuktikan peningkatan sukan wushu di Brunei Darussalam.

    “Pingat hari ini adalah yang pertama bagi sukan wushu dan bagi saya peningkatan sangat ketara dalam acara individu bagi delegasi wushu kita,” ujar Li Hui.

    “Saya sangat bangga dengan pencapaian Sufi hari ini, apabila beliau tidak menunjukkan sebarang tanda gemuruh berbanding semalam dan naik ke podium adalah bonus istimewa baginya dan hadiah bagi negara,” ujarnya.

    Menurutnya lagi, Sufi mempunyai potensi yang besar, apa yang kurang dalam persiapannya adalah pendedahan pertandingan dan kaedah latihan yang sedia ada pastinya akan lebih efisien jika beliau diberikan pendedahan di masa akan datang.

    “Sementara itu Basma pula peserta yang muda dan licik, beliau baru berusia 14 tahun dan masih mempunyai potensi dalam beberapa siri pertandingan,” ujar Li Hui lagi.

    Menurutnya Basma terlibat dengan latihan di China dan Basma menunjukkan komitmen yang tinggi dalam latihan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda