Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Ogos – Sukan Kebangsaan Brunei Darussalam kali ke-4 bagi acara wusyu hari ini meneruskan lagi saingannya pada peringkat akhir yang berlangsung di Kompleks Sukan Menglait.
Dalam perseorangan lelaki GunShu, kontinjen Daerah Brunei dan Muara mendominasi kedudukan di tempat pertama hingga ketiga menerusi Mohd Safiee Shayferan bin Roslan dengan pungutan mata 8.71, sementara di tempat kedua jatuh kepada Danial Hasbullah Lim Yen Yee bin Mohd Saiful yang memperoleh pungutan mata 8.53, disusuli oleh Lim Wee Yuan, dengan pungutan mata 8.5.
Dalam Kategori ChangQuan perseorangan perempuan pula menyaksikan Sherissa Lim Wan Chi memperoleh pingat emas bagi kontinjen Daerah Brunei dan Muara, diikuti dengan kontinjen Daerah Tutong iaitu Ling Dexuan dan Ling Dexun yang berada masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

Manakala, dalam Kategori ChangQuan Kumpulan C bagi perseorangan perempuan menyaksikan penguasaan daripada wakil kontinjen Majlis Sukan Sekolah-sekolah Brunei Darussalam (MSSBD) apabila menjuarai kategori berkenaan dengan pungutan mata 9.1, manakala wakil kontinjen Daerah Brunei dan Muara berpuas hati untuk berada di tempat kedua dan diikuti oleh kontinjen Daerah Belait di tempat ketiga.
Sementara itu Perseorangan Lelaki ChangQuan bagi Kumpulan C menyaksikan wakil kontinjen Daerah Temburong, Shim Ding Zhen muncul juara, diikuti oleh naib juara jatuh kepada wakil Pasukan Brunei dan Muara diikuti oleh MSSBD di tempat ketiga.
Bagi Kategori QuanShu campuran, kontinjen MSSBD, Koh Yun C mendapat tempat pertama dengan perolehan mata 9.2, manakala seorang lagi wakil MSSBD, Nur Batrisya binti Ripin berada di tempat kedua dengan mata 9.1. Sementara itu di tempat ketiga jatuh kepada Chu Ching Weng yang mewakili kontinjen Daerah Temburong.