MADRID, 28 SEPT – Julian Alvarez menjaringkan dua gol untuk membantu Atletico Madrid meraih kemenangan bergaya 5-2 dalam derbi ke atas pendahulu La Liga, Real Madrid, pada Sabtu, sekali gus menamatkan permulaan sempurna musuh mereka musim ini.
Pasukan Xabi Alonso sebelum ini memenangi semua enam perlawanan mereka, tetapi Atletico kendalian Diego Simeone tampil lebih agresif dalam perlawanan di Stadium Metropolitano.
Atletico membuka tirai jaringan menerusi Robin Le Normand. Kylian Mbappe dan Arda Guler kemudian menjaringkan gol untuk meletakkan Real Madrid di hadapan, namun Alexander Sorloth menyamakan kedudukan buat Atletico pada penghujung separuh masa pertama yang mendebarkan.
Alvarez kemudian menjaringkan gol penalti sebelum melengkapkan jaringan kedua melalui sepakan bebas.
Antoine Griezmann menambah gol kelima pada minit akhir untuk melengkapkan pesta kemenangan tuan rumah selepas permulaan musim yang kurang konsisten. Kemenangan itu melonjakkan Atletico secara sementara ke tangga keempat.
“Tiada alasan, kami amat kecewa, ini derbi dan kekalahan yang layak,” kata Alonso, selepas pasukannya bolos lima gol kepada Atletico buat pertama kali sejak 1950.
Kegembiraan Atletico jelas terserlah, dengan Simeone kelihatan terharu di tepi padang ketika pasukannya melakar jaringan besar.
“Ada banyak emosi… kami bermula musim ini dengan agak sukar,” kata Simeone.
“Dari awal perlawanan kami tahu di mana kami boleh memberi kesan… hari ini adalah persembahan yang sangat, sangat baik.” – AFP


