MADRID, 5 FEB – Giuliano Simeone menjaringkan dua gol ketika Atletico Madrid membelasah Getafe 5-0 semalam untuk mara ke separuh akhir Copa del Rey.
Anak kepada jurulatih Atletico, Diego Simeone, menjadi pemain penting bagi Rojiblancos dalam beberapa bulan kebelakangan ini dan dua jaringannya memberikan permulaan sempurna dalam perlawanan suku akhir yang berat sebelah itu.
Samuel Lino, Angel Correa dan Alexander Sorloth turut mencetak nama sebagai penjaring ketika Atletico meraih kemenangan bergaya.
“Saya sangat gembira dengan kemenangan di stadium ini, suasananya luar biasa, tetapi pertama sekali saya perlu berterima kasih kepada seluruh pasukan kerana kami telah berusaha keras,” kata Simeone, yang dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan, kepada TVE.
“Saya gembira, tetapi saya juga banyak memikirkan perkara yang perlu diperbaiki. Saya bekerja keras setiap hari untuk terus meningkat,” tambahnya.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2025/02/P22-1_06022025.jpg)
Atletico, yang kali terakhir menjuarai Copa del Rey pada 2013, memulakan perlawanan dengan agresif di Estadio Metropolitano.
Simeone membuka jaringan seawal minit kelapan dengan tandukan selepas penjaga gol Getafe, Jiri Letacek, gagal membuat keputusan tepat untuk menangkap hantaran silang Javi Galan.
Rodrigo De Paul kemudian membantu Simeone menjaringkan gol keduanya pada minit ke-17, selepas pertahanan Getafe mudah ditembusi.
Lino menambah satu lagi gol sebelum rehat, dengan gerakan bijak yang mengelirukan pertahanan Getafe, Juan Iglesias, sebelum menyempurnakan penyudah dengan tenang.
Correa, yang masuk sebagai pemain gantian, meledak gol keempat dari luar kotak penalti pada minit ke-78 dengan rembatan rendah yang menewaskan Letacek. – AFP