Friday, September 20, 2024
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Atletico Madrid ikat Alvarez

    MADRID, 13 OGOS – Atletico Madrid menandatangani penyerang Julian Alvarez dari Manchester City kelmarin dalam perjanjian yang dilaporkan bernilai sehingga 85 juta euro.

    “Kelab telah mencapai persetujuan dengan Manchester City untuk perpindahan penyerang Argentina itu, yang telah menandatangani kontrak untuk enam musim akan datang,” kata Atletico dalam satu kenyataan.

    Laporan dari Sepanyol mengatakan Atletico akan membayar 75 juta euro untuk penyerang itu, dengan potensi 10 juta euro dalam bentuk bonus lagi.

    Pemain berusia 24 tahun itu tiba di City dengan hanya £14 juta pada Januari 2022 dari River Plate, memenangi dua trofi Liga Perdana dan Liga Juara-Juara serta trofi lain.

    Alvarez turut membantu Argentina menjulang trofi Piala Dunia pada Disember 2022 dan Copa America pada 2021 dan 2024.

    “Hari ini saya mengucapkan selamat tinggal kepada kelab yang menakjubkan ini, dengan penuh emosi,” kata Alvarez kepada laman web kelab City.

    “Ia merupakan dua tahun yang sangat istimewa. Pada masa ini, saya telah berkembang dan belajar banyak perkara sebagai pemain mahupun sebagai individu.”

    Alvarez menjaringkan 36 gol untuk City dalam 103 penampilan di semua pertandingan.

    “Dia amat disayangi oleh pasukan kerana tingkah lakunya, tetapi seperti yang saya katakan berkali-kali untuk ramai pemain, dia mahu pergi dan menghadapi cabaran baharu,” kata jurulatih Manchester City, Pep Guardiola minggu lalu. – AFP

    Reaksi Alvarez semasa perlawanan bola sepak suku akhir semasa Sukan Olimpik Musim Panas di Bordeaux, Perancis pada 2 Ogos. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda