MADRID, 26 OGOS – Atletico Madrid mengekalkan permulaan sempurna La Liga Sepanyol semalam dengan satu lagi kemenangan 1-0 ke atas Leganes ketika Vitolo (gambar bawah) tampil dari bangku simpanan untuk menjaringkan gol kemenangan babak kedua di Butarque.
Selepas mengalahkan Getafe dengan keputusan sama hujung minggu lalu, Atletico memulakan musim dengan gaya sama, sekalipun ia tidak begitu mengagumkan memandangkan mereka membeli pemain bintang pada musim panas kali ini.
Namun dua kemenangan daripada dua perlawanan sudah meletakkan mereka di depan Barcelona, yang tewas kepada Athletic Bilbao sebelum menang 5-2 ke atas Real Betis awal pagi tadi, selain Real Madrid, yang diikat Real Valladolid kelmarin.
Joao Felix, pembelian bernilai 126 juta euro Atletico dari Benfica yang juga pengganti Antoine Griezmann, seperti minggu lalu agak kurang menyinar namun dia tampil memberi sumbangan ketika saat genting.
Hantaran tepat pemain berusia 19 tahun itu singgah di kaki Vitolo yang tidak berdepan masalah untuk meledak gol kemenangan pada minit ke-71. – AFP