Ahad, 23 November 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Atletico rai kemenangan pertama La Liga

    MADRID, 14 SEPT – Atletico Madrid menewaskan Villarreal 2-0 untuk meraih kemenangan pertama mereka dalam saingan La Liga musim ini, semalam.
     
    Skuad kendalian Diego Simeone sebelum ini mengalami dua kekalahan dan satu keputusan seri dalam perlawanan awal, namun kali ini menampilkan aksi lebih meyakinkan untuk menundukkan lawan di Stadium Metropolitano menerusi jaringan Pablo Barrios dan pemain debut, Nico Gonzalez.
     
    Rojiblancos bagaimanapun berdepan kebimbangan selepas Julian Alvarez, Robin Le Normand dan David Hancko terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan, sesuatu yang merisaukan menjelang aksi pembukaan Liga Juara-Juara menentang Liverpool pada Rabu ini.
     
    Simeone menurunkan Gonzalez terus ke dalam kesebelasan utama selepas tiba pada hari terakhir jendela perpindahan dari Juventus, selain memberikan Antoine Griezmann penampilan pertama musim ini.
     
    Barrios membuka jaringan pada minit kesembilan selepas kesilapan pertahanan Villarreal yang membolehkan Julian Alvarez menguasai bola dalam kotak penalti. Pemain antarabangsa Argentina itu kemudian melorongkan bola untuk disudahkan Barrios dengan tenang.
     
    Gonzalez menggandakan kelebihan Atletico pada awal babak kedua menerusi tandukan hasil hantaran Marcos Llorente. 
     
    Clement Lenglet sempat menambah jaringan ketiga tetapi dibatalkan kerana berlaku tolakan, sekali gus memastikan Atletico kekal mendominasi permainan. – AFP
     
    Pablo Barrios meraikan selepas menjaringkan gol pertama pasukannya dalam perlawanan bola sepak Liga Sepanyol, La Liga, antara Atletico Madrid dan Villarreal di Stadium Metropolitano, Madrid pada 13 September. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda