MADRID, 29 OKT – Atletico Madrid mensia-siakan peluang untuk menyamakan kedudukan mata dengan seteru Real Madrid semalam, selepas dihukum dengan dua sepakan penalti untuk pihak lawan, sepakan kedua diberikan pada minit ke-89, untuk mencatat keputusan seri 2-2 di laman lawan di Levante.
Atletico mendahului perlawanan sebanyak dua kali di stadium City of Valencia selepas jaringan pembukaan melalui Antoine Griezmann sebelum Metheus Cunha mencetak gol pertama bersama kelab dan dilihat bakal membawa pulang tiga mata.
Namun Levante, yang menghuni tangga kedua tercorot, kembali bangkit melalui sepakan penalti setelah Luis Suarez mengasari lawannya kemudian Renan Lodi disalahkan kerana menyentuh bola sekali gus memberikan peluang kepada Enis Bardhi untuk menyempurnakan sepakan penalti.
“Kami perlu memperbaiki permainan dengan segera,” kata jurulatih Atletico Madrid, Diego Simeone, yang diarah keluar padang pada akhir perlawanan selepas diberikan kad kuning kedua kerana membantah.
Atletico melonjak ke tangga kelima, lima mata mengejar pendahulu, Real Sociedad, yang terdahulu kembali merampas kedudukan teratas setelah mencatat kemenangan 2-0 di Celta Vigo. Jaringan Alexander Isak dan Aritz Elustondo pada separuh masa kedua sudah cukup buat La Real, yang belum dikalahkan sejak ditundukkan 4-2 di tangan Barcelona pada hari pembukaan musim ini.
Simeone berkata sebelum perlawanan dia ‘risau namun sibuk’ cuba memperbaiki pasukannya yang rapuh di bahagian pertahanan, di mana perlawanan tersebut menjadikan Atletico Madrid dibolosi tujuh kali dalam tiga perlawanan terakhir. – AFP
