Oleh Ak Zaki Kasharan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 JULAI – Keadaan cuaca aktif dijangka berlaku bermula hari ini hingga 16 Julai, dengan hujan lebat berpetir serta berangin kencang sekali-sekala dijangka menjejaskan kebanyakan kawasan Negara Brunei Darussalam.
Walaupun ketika ini negara masih dalam monsun barat daya, di mana angin barat daya masih dominan dengan keadaan atmosfera stabil, namun keadaan cuaca diramalkan aktif untuk beberapa hari akan datang disebabkan kehadiran keadaan atmosfera yang lembap di rantau ini yang meningkatkan pembentukan awan-awan hujan.
Jabatan Kaji Cuaca Brunei Darussalam (BDMD) dalam kenyataannya hari ini turut memaklumkan Stesen Pencerapan Cuaca, BDMD di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei telah merekodkan turunan hujan 244.6mm sejak 1 Julai.
Jumlah berkenaan telah mencapai jumlah turunan hujan normal bagi Julai (1991-2020) iaitu 241.8mm.
Sementara itu, kelajuan angin boleh meningkat sehingga 50kmsj di kawasan darat dan 60kmsj di kawasan laut semasa atau dekat hujan lebat berpetir.
Manakala, keadaan laut pada amnya berombak sedikit di paras antara 0.4 dan satu meter dan dijangka meningkat ke paras bergelora sehingga tiga meter pada hujung minggu.
Sehubungan itu, BDMD menasihatkan orang ramai untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku.
Terdapat risiko tinggi berlakunya banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat yang berterusan dan semasa kejadian air pasang.
Sementara itu, kejadian pokok tumbang dan tanah susur juga boleh berlaku semasa hujan lebat dan keadaan berangin. Keadaan laut bergelora adalah berbahaya bagi operasi bot-bot kecil serta aktiviti rekreasi dan sukan laut.
Orang ramai, para pemandu di jalan raya dan juga para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh BDMD dan membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.
Jabatan berkenaan akan terus memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu.
Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit Brunei WX atau juga boleh menghubungi peramal cuaca di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114 atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau melalui laman Facebook @bruneiweather, Instagram @brunei.weather dan saluran Telegram Brunei Weather.