BANGKOK, 9 Julai – Pemain remaja Thailand menjadi pemenang termuda kejohanan golf profesional selepas mengatasi tekanan hebat untuk meraih kemenangan dua pukulan pada Kejohanan Thailand Wanita Eropah di Pattaya, dekat sini, hari ini.
Atthaya Thitikul yang berusia 14 tahun empat bulan, tenang melakukan putt terakhir untuk mengatasi Ana Menendez daripada Mexico.
Kemenangannya meleburkan rekod semasa milik pemain Kanada, Brooke Henderson yang memenangi Jelajah Wanita Kanada pada Jun 2012, ketika berumur 14 tahun, sembilan bulan dan tiga hari.
Dia juga mengatasi rekod Jelajah Wanita Eropah yang dipegang bekas pemain nombor satu dunia, Lydia Ko ketika merangkul kejuaraan di Terbuka New Zealand 2013 pada usia 15 tahun, sembilan bulan dan 17 hari.
Atthaya yang berasal daripada wilayah barat Thailand, Rachaburi mencecah usia 14 tahun pada 20 Februari lalu.

Media tempatan melaporkan dia mula menyertai sebuah kelab golf ketika berusia enam tahun.
Remaja pemalu tetapi sering tersenyum itu menjadikan impiannya menjadi kenyataan di Kelab Golf dan Country Gold Phoenix di Pattaya.
Dia melakar kejutan pada hari pertama dengan dua di bawah 70, melakukan 71 pada hari kedua dan 70 pada hari ketiga.
Dia memulakan hari terakhir dengan satu pukulan di belakang Menendez, 25, dan berdepan tugas mendebarkan untuk mengekalkan kedudukan hingga ke penghujung saingan.
“Saya sangat bangga dan gembira dengan keputusan saya dan berjaya meraih kemenangan minggu ini,” katanya kepada pemberita selepas meraih kemenangan. – AFP