SAMOBOR, CROATIA – Sebuah bandar di Croatia telah mengemukakan penyelesaian baharu untuk mengatasi dilema ibu bapa yang bekerja apabila tiada ruang penjagaan kanak-kanak awam tersedia: dengan membayar datuk dan nenek untuk melakukannya.
Samobor, berhampiran ibu kota Zagreb, telah menjadi kawasan yang pertama di negara itu menjalankan ‘Perkhidmatan Nenek-Datuk,’ yang membayar 360 euro (AS$400) sebulan bagi setiap kanak-kanak.
Skim itu membolehkan datuk dan nenek menambah pencen mereka, tetapi pihak berkuasa juga berharap ia akan mengeratkan hubungan kekeluargaan serta menangani pengasingan sosial apabila penduduk meningkat.
“Faedahnya berlipat kali ganda,” beritahu Datuk Bandar Samobor, Petra Skrobot, kepada AFP.
“Pencen adalah agak rendah dan bagi ibu bapa kadangkala sukar untuk mendapatkan penjagaan yang mencukupi untuk anak-anak.
“Kami mahu memberi peluang kepada ibu bapa untuk memilih jenis penjagaan untuk anak-anak mereka.”
Di Croatia, kebanyakan wanita menggunakan cuti bersalin selama 12 bulan, walaupun penjagaan anak yang dibiayai kerajaan tersedia dari umur enam bulan sehingga anak itu mendaftar di sekolah rendah pada usia enam tahun.
Namun tidak ada cukup tempat di tadika awam, yang dikendalikan oleh pihak berkuasa di peringkat tempatan, bermakna beberapa ribu kanak-kanak terlepas setiap tahun.
Masalahnya paling teruk di bandar-bandar utama, terutamanya Zagreb, dan ramai ibu bapa yang bekerja menghadapi pilihan antara membayar untuk tadika persendirian atau pengasuh daripada duit poket mereka sendiri atau meminta ibu bapa mereka sendiri untuk membantu.
‘Perkhidmatan Nenek-Atuk,’ berdasarkan model serupa di Sweden, terbuka kepada kanak-kanak berumur empat tahun ke bawah.
Datuk dan nenek memohon perkhidmatan berkenaan, yang diperkenalkan pada akhir Mac, setiap bulan. Dua puluh lapan orang telah memohon setakat ini.
‘MENGERATKAN IKATAN’
Dubravka Koletic, 60, adalah salah seorang daripada mereka. Dia memuji langkah itu sebagai ‘amat positif untuk datuk nenek dan cucu.’
“Kami mendapat beberapa euro tambahan yang merupakan sesuatu yang baik memandangkan duit pencen kami rendah, selain dapat meluangkan banyak masa bersama cucu kami,” katanya kepada AFP ketika dia bermain dengan cucunya Viktor
yang berusia 18 bulan di sebuah taman.
Di Croatia, purata pencen berjumlah kira-kira 550 euro sebulan.
“Selain itu, kami juga menjadi lebih rapat,” tambah Koletic.
Anak perempuannya, Danijela Koletic, juga berasa gembira walaupun Viktor gagal mendapat tempat di pusat jagaan anak awam.
“Ia benar-benar hebat kerana lebih mudah untuk meninggalkan kanak-kanak sekecil itu kepada seseorang yang awda percayai, sementara Viktor dan neneknya akan mengeratkan lagi ikatan hubungan mereka,” kata ahli ekonomi berusia 41 tahun itu, yang mempunyai dua orang anak lain.
Samobor, yang menempatkan kira-kira 37,000 orang, mempunyai dua tadika dengan beberapa tapak yang lebih kecil, menyediakan penjagaan kepada lebih 1,300 kanak-kanak.
Namun pada tahun lepas, lebih 100 kanak-kanak terlepas, terutamanya yang berumur 18 bulan ke bawah.
Josipa Milakovic, yang mengendalikan tadika Grigor Vitez, menggelar inisiatif itu sebagai ‘bantuan untuk ibu bapa, memyalurkan bantuan dalam menjaga anak bongsu dalam persekitaran keluarga.’
Skrobot berkata rakan sejawat dari seluruh negara telah menghubunginya untuk menyatakan minat terhadap skim itu.
Anggota Kesatuan Eropah Croatia, yang mempunyai populasi 3.8 juta orang, menghadapi krisis demografi, dengan kadar kelahiran yang rendah, populasi yang semakin tua dan penghijrahan.
Unjuran PBB menganggarkan bahawa menjelang akhir abad ini, populasi negara itu akan jatuh kepada hanya 2.5 juta.
Samobor, bagaimanapun, telah menentang trend itu dan populasinya telah meningkat, terutamanya dengan keluarga muda yang mencari persekitaran yang lebih tenang berhampiran dengan Zagreb.
Bilangan kelas sekolah rendah telah penuh diisi pada tahun lepas manakala jumlah pelajar yang didaftarkan menurun di tempat lain. – AFP