Saturday, May 10, 2025
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Atur semula strategi

    Oleh Salawati Haji Yahya

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Feb – Seiring dengan perubahan ekonomi global yang semakin mencabar, fungsi dan peranan yang dimainkan oleh Kementerian Pembangunan juga perlu berubah seiring dengan arus transformasi dan keadaan semasa yang dihadapi masa ini.

    Sehubungan itu, kementerian perlu memposisikan semula peranannya sebagai pemboleh strategi yang dapat menyokong dasar dan inisiatif kerajaan terutama dalam memangkinkan semula sektor swasta sebagai enjin pertumbuhan utama ekonomi negara.

    Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Haji Suhaimi bin Haji Ghafar berkata demikian semasa menyampaikan ucapan perasmian Bengkel Pelan Strategik Kementerian Pembangunan di kementerian berkenaan yang diungkayahkan oleh Divisyen Penyelaras Polisi dan Pelan Strategik (PCSP) hari ini.

    Yang Berhormat Dato menjelaskan, pelan strategik secara menyeluruh perlu dilaksanakan dari semasa ke semasa supaya kementerian ini terus kekal dalam menerajui pembangunan infrastruktur negara bukan saja pada masa lalu dan hari ini, malah pada masa hadapan.

    Beliau seterusnya menyeru setiap pegawai dan kakitangan jabatan, divisyen dan unit-unit di bawah Kementerian Pembangunan untuk memberikan kerjasama dalam memastikan pelan strategik tersebut dapat diguna pakai sebagai terma rujukan.

    Yang Berhormat Dato Seri Paduka Haji Suhaimi semasa menyampaikan ucapan ketika merasmikan Bengkel Pelan Strategik Kementerian Pembangunan.

    “Ini dengan mengambil kira kepentingan dan perancangan strategik secara holistik di jabatan, divisyen dan unit masing-masing,” jelasnya.

    Bengkel yang berlangsung selama tiga hari yang antara lain bertujuan untuk menyemak, mengkaji dan menganalisis semula pelan berkenaan yang terdapat pada masa ini selain mengemaskinikan serta menyesuaikan keadaan perkembangan semasa supaya ia tetap relevan dan berterusan untuk diguna pakai dalam jangka waktu yang panjang.

    Sementara itu, beliau turut menjelaskan, rangka kerja pelan strategik ini juga di hasrat untuk mendukung dan merealisasikan visi Kementerian Pembangunan iaitu Kehidupan Berkualiti, Pembangunan Berterusan, Negara Makmur.

    Katanya lagi, “Setiap jabatan, divisyen dan unit di bawah kementerian ini perlu sentiasa berusaha dalam memastikan pelan strategik kementerian ini adalah sejajar dengan keperluan serta menepati cabaran semasa.

    “Di samping memiliki sifat kerohanian yang berkonsepkan Melayu Islam Beraja ia juga sebagai pembentuk dan penentu calak keBruneian,” tambahnya.

    Beliau seterusnya berharap, setiap peserta bengkel akan memberi komitmen sepenuhnya dengan menunjukkan sikap dan fikiran positif, berinisiatif dan memberikan idea yang inovatif serta kreatif dalam menyampaikan cadangan.

    Hasil daripada bengkel ini, jelasnya akan dirumuskan dan dikongsi di setiap jabatan, divisyen dan unit di bawah kementerian berkenaan bagi cadangan penambahbaikan mana-mana jurang pelaksanaan yang perlu diperbaiki dari semasa ke semasa.

    Katanya lagi, “Usaha yang dibuat oleh kementerian ini akan dapat menepati kehendak orang ramai dalam memberikan perkhidmatan berkualiti tinggi untuk kesejahteraan rakyat serta penduduk negara selaras dengan moto kementerian.

    “Dengan adanya semua yang dirancang ini, cabaran seterusnya ialah bagi setiap jabatan, divisyen dan unit untuk memberigakan kepada semua warga kementerian selain memastikan strategi ini disusuli dan secara berterusan dengan mengambil kira tindakan segera kepada perkara yang memerlukan perubahan atau pembaikan,” tambahnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda