MIAMI, 28 OKT – Pemain golf India, Arjun Atwal, yang sedang berdukacita atas kematian bapanya, kembali beraksi dengan penuh semangat, dengan keputusan lapan di bawah par 63, satu anak tangga di bawah pendahulu pada pusingan pembukaan Kejohanan PGA Bermuda, kelmarin.
Pemain golf America, Austin Smotherman, di ranking ke-303 dunia, mencatat 62 pukulan tanpa bogey untuk berkongsi tempat pertama dengan pemain golf Australia, Harrison Endycott pada hari pertama permainan di Port Royal Golf Course di Southampton.
Namun, tumpuan hari pertama permainan beralih kepada Atwal, yang berkongsi tempat kedua dengan Scott Brown, Adam Schenk, Denny McCarthy dan Robby Shelton.
Atwal hanya berjaya mengikuti perlawanan pada Khamis pagi selepas pemain golf Amerika, Nicholas Lindheim menarik diri susulan kecederaan belakang yang dialaminya.
“Saya sampai di sini sekitar 7:30, pukul beberapa wedges, kemudian masuk ke dalam untuk makan sarapan,” kata Atwal.

“Sekitar 8:45, kedi saya menghantar mesej beritahu kita mungkin ada permainan. Jadi saya tinggalkan sarapan, keluar, pukul beberapa drivers dan kemudian kami balik.”
Atwal bermula dengan membuat pukulan birdie untuk tiga lubang pertama, kemudian membenam birdie berturut-turut sebelum mencatat bogey. Seterusnya, dia melakukan birdie lagi di par-5 kedua dan par-3 ketiga.
Atwal merosot ke kedudukan 2,815 ranking dunia selepas pulang ke tanah airnya susulan tragedi yang menimpa keluarganya.
“Saya tidak banyak bermain golf. Saya kehilangan ayah saya sekitar tiga bulan lalu di India. Jadi saya pulang ke sana,” katanya.
“Saya tidak pernah kehilangan keluarga terdekat. Ini adalah kehilangan pertama saya, jadi ia sangat sukar untuk saya hadapi. Dan kedua-dua ibu bapa saya, mereka tinggal di India.
“Mak saya masih hidup di India. Saya sudah lama tidak berjumpa dengannya, ia sangat sukar bagi saya.” – AFP