MOGADISHU, 8 Nov – Misi Kesatuan Afrika di Somalia (AMISOM) hari ini mengumumkan bahawa kira-kira 1,000 askar akan ditarik balik dari Somalia pada 31 Disember sejajar dengan resolusi Majlis Keselamatan PBB dan Kesatuan Afrika.
Wakil Khas Pengerusi Kesatuan Afrika untuk Somalia, Francisco Madeira, menekankan bahawa penarikan pasukan AMISOM dari Somalia adalah secara ‘berperingkat’ dan ‘berdasarkan keadaan’.
“AMISOM telah memulakan pengundurannya dari Somalia dan akan mengurangkan bilangan tentera sebanyak 1,000 menjelang 31 Disember. Pengunduran dan peralihan kami mesti beransur-ansur, berasaskan keadaan, bertanggungjawab dan dilakukan dengan cara yang tidak menjejaskan keselamatan Rakyat Somalia, “kata Madeira kepada wartawan di Mogadishu.
Hasilnya, beliau berkata, pergerakan pasukan telah bermula di beberapa bahagian di negara Afrika dan secara berperingkat-peringkat tatkala tanggungjawab keselamatan mula beralih kepada tentera tempatan.

“Ini adalah satu proses penjajaran semula untuk memberi kesan kepada pengurangan angka dan memulakan penyerahan tanggungjawab keselamatan kepada pasukan Somalia. Saya ingin memastikan semua latihan ini dijalankan dengan berhati-hati untuk memastikan keselamatan rakyat Somalia tidak dikompromi, ” katanya.
“Penambahan pegawai polis tambahan akan membantu memperluaskan undang-undang dan perintah di Somalia dan seterusnya mengamankan negara,” kata utusan AU itu.
AMISOM akan mengurangkan tenteranya sebanyak 1,000 menjelang Disember, diikuti dengan pengurangan selanjutnya tahun depan, satu latihan dijangka berakhir menjelang 2020 sebagai sebahagian daripada strategi rancangannya. – Xinhua