Auckland dibuka semula, pendekatan baharu tangani virus

WELLINGTON, 3 DIS – Bar, restoran dan gim dibuka semula di Auckland hari ini ketika sebahagian besar perintah berkurung yang berlarutan selama lebih 100 hari berakhir.

New Zealand sudah memulakan fasa baharu dalam pendekatannya menangani koronavirus, tanpa mengenakan perintah berkurung, namun orang ramai dikehendaki lengkap divaksinasi – dan membuktikannya dengan pas vaksin – dalam usaha mengakses pelbagai perkhidmatan.

Kerajaan memutuskan bahawa kadar vaksinasi sudah cukup tinggi untuk beralih ke sistem baharu, dengan kira-kira 87 peratus orang berusia 12 tahun dan ke atas sudah pun diinokulasi.

Di Auckland, yang merupakan pusat wabak negara, kadarnya adalah lebih 90 peratus.

Ancaman oleh varian baharu Omicron tidak mengubah rancangan pembukaan semula, selepas New Zealand pada Ahad lalu menyekat perjalanan dari sembilan negara selatan Afrika. Setakat ini, belum ada kes Omicron dikesan di New Zealand dan pegawai tetap yakin, varian itu boleh dikekang di sempadannya melalui sistem kuarantin.

Kegembiraan terserlah di kalangan penduduk Auckland hari ini apabila mereka ‘bebas’ daripada kurungan, dengan sebahagiannya berkunjung ke bar sebaik sahaja ia dibuka pada tengah malam.

Sebahagian sekatan bagaimanapun masih dilaksanakan. Sempadan Auckland dengan bahagian lain negara itu belum lagi dibuka sehingga pertengahan Disember.

Manakala satu ‘sistem lampu isyarat’ baharu dirangka bagi menunjukkan di bahagian mana penularan membebankan sistem kesihatan. Warna hijau mengenakan beberapa sekatan, oren memerlukan penduduk memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal dan merah mengehadkan perhimpunan kepada 100 orang atau kurang.

Auckland dan beberapa kawasan lain sudah pun memulakan sistem lampu isyarat merah, manakala selebihnya memulakan dengan oren. Kerajaan berharap Auckland akan beralih ke warna oren tidak lama lagi. – AP

Penduduk Auckland bersantai di kafe selepas tamatnya perintah berkurung dan sekatan dilonggarkan mengikut sistem lampu isyarat. – AP