Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Mei – T.C.Y Motors Sdn Bhd selaku pengedar kenderaan jenama Audi di Brunei telah memperkenalkan keluaran Audi Q2 terbaru sebagai tambahan barisan model SUV kompak di bawah model ‘Q’.
Walaupun agak sedikit kecil jika melihat dari luar, model SUV berkenaan mampu membawa lima orang penumpang termasuk pemandu dan dibangunkan sebagai kenderaan untuk kegunaan pemanduan seharian.
Audi Q2 juga dinamakan model pemanduan bandar yang dilengkapi fungsi teknologi moden untuk keselesaan pemandu dan penumpang terutama sistem bantuan pemanduan dan infotainment.
Dari segi reka bentuknya, bahagian depannya mempunyai bentuk oktagon seperti model-model Audi terbaharu selain itu, apa yang menarik perhatian, model ini mempunyai bumbung rendah yang menurun dan bersatu dengan tiang-C di samping penampilan mewah, bergaya dan licin berkilat.
Bagi model keluaran Brunei, Q2 didatangkan dengan enjin TFSI terbaru yang mampu menghasilkan 116 kuasa kuda dengan kekuatan tork 200Nm. Audi Q2 dilengkapi transmisi 7-kelajuan S Tronic Dual Clutch.

Tambahan pada model ini adalah teknologi ‘Progressive Steering’ yang membantu pemandu untuk membelok kenderaan lebih kuat dengan hanya memusing sedikit stereng, digunakan semasa perjalanan memasuki simpang atau lencongan.
Infotainment standard dilengkapi skrin MMI 5.8 inci yang terletak di atas panel alatan, yang beroperasi melalui kawalan punat dan dua punat terletak di tengah papan pemuka.
Antara fungsi lain adalah 4-Mode Audi Drive Select, Comfort Key termasuk pintu bagasi automatik, sistem letak kereta termasuk kamera belakang, sistem audio B&O, kerusi kulit Alcantara dan rim 18 inci 5 ruji rekaan-Y (rim 17 inci pada model spesifikasi standard) dan pakej sport S Line.