Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 SEPT – Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) telah menganjurkan Mesyuarat ASEAN Central Banks Head of Internal Audit Network ke-7, secara maya, kelmarin.
Membawa tema Embracing Versatility in the Next Normal, acara dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengarah Urusan, BDCB, Hajah Rokiah binti Haji Badar.
Dalam ucapannya, beliau mengetengahkan kerjasama di antara para pemimpin dalam bidang audit dalaman dari bank-bank pusat ASEAN untuk memastikan kualiti audit dalaman dapat dinaik taraf secara berterusan di rantau ASEAN, seiring dengan piawaian antarabangsa.
Selaras dengan tema pada tahun ini, beliau juga menekankan audit dalaman perlu pendekatan yang lebih fleksibel agar bank-bank pusat boleh beransur pulih seperti sedia kala, kekal berdaya tahan, dan seterusnya berkembang maju dalam peralihan ke normal seterusnya dalam era pasca pandemik.
Tema mesyuarat tersebut mengambil kira situasi di mana norma baharu telah mendorong perubahan yang dramatik terutama sekali dari segi penstrukturan proses, operasi harian dan pelan-pelan kerja disebabkan pandemik COVID.
Mesyuarat ASEAN Central Banks Heads of Internal Audit Network diadakan setiap tahun dan dianjurkan secara bergilir oleh bank-bank pusat ASEAN di mana mesyuarat pertama telah dihoskan oleh Office of the Auditor General, Bank Pembangunan Asia (ADB) pada tahun 2016.
Mesyuarat tersebut berhasrat untuk mengukuhkan hubungan antara ahli-ahli melalui perkongsian pengalaman dan amalan serta piawaian terbaik audit dalaman dan perbincangan mengenal isu-isu terkini berhubung kait audit dalaman yang dihadapi bank-bank pusat di rantau ASEAN.
Semasa acara tersebut, beberapa penceramah jemputan juga mengongsikan mengenai lima perspektif serba guna di normal seterusnya termasuk memperbaharui serta menaikkan tahap kemahiran, kelincahan, teknologi, kedaya tahanan dan transformasi.
Penceramah-penceramah jemputan termasuk Ketua Audit, Reserve Bank of Australia dan Naib Presiden, The Institute of Internal Auditors, Australia, Ross Tilly; Pengurus Kanan, Delotte and Touche, Singapura, Gerald Seah; Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas, D Clark Risk Advisory Services, Daniel A Clark; Pakar Audit Kanan, ADB, Republik Filipina, Pierre Gadpaille dan Ketua Jaminan Kualiti, Jabatan Audit Dalaman, Bank Negara Malaysia, Raja Mohamad Shahadan Raja Mohamed.
Turut hadir pada mesyuarat tersebut ialah ketua-ketua eksekutif, ketua-ketua serta wakil-wakil audit dalaman dari bank-bank pusat di seluruh rantau ASEAN serta ADB.