Friday, October 18, 2024
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    AUKUS jadi kebimbangan bagi ASEAN

    PHNOM PENH, 5 JUN – Perdana Menteri Kemboja, Samdech Techo Hun Sen hari ini berkata bahawa pakatan AUKUS tiga pihak, pakatan ketenteraan antara Amerika Syarikat (AS), Britain dan Australia, menjadi kebimbangan bagi Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN).

    Di bawah pakatan AUKUS, yang diumumkan pada September 2021, Australia akan dapat membina kapal selam berkuasa nuklear dengan teknologi yang disediakan oleh AS dan Britain.

    “Pakatan berskala kecil yang berkaitan dengan kapal selam berkuasa nuklear di kalangan AS, Britain dan Australia menjadi kebimbangan bagi ASEAN dan negara di rantau ini kerana ASEAN adalah zon bebas senjata nuklear, dan kami menentang proliferasi senjata nuklear,” katanya dalam ucapan semasa majlis graduasi hampir 6,000 pelajar di Universiti Diraja Undang-undang dan Ekonomi.

    Hun Sen berkata pakatan tentera itu merupakan “titik permulaan perlumbaan senjata yang sangat berbahaya” di rantau ini.

    “Saya rasa jika keadaan ini berterusan, dunia akan menghadapi bahaya yang lebih besar,” katanya.

    Joseph Matthews, seorang profesor kanan di Universiti Antarabangsa BELTEI di Phnom Penh, berkata AUKUS menimbulkan ancaman keselamatan utama kepada ASEAN dan seluruh rantau Asia.

    “Pakatan ini akan mencetuskan perlumbaan senjata konvensional dan nuklear di rantau ini, dan dengan itu menjejaskan kestabilan keamanan dan keselamatan, menjejaskan pembangunan ekonomi dan memusnahkan pusat ASEAN,” katanya kepada Xinhua.

    Kumpulan ASEAN terdiri daripada Negara Brunei Drussalam, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam. – Xinhua

    Perdana Menteri Britain, Rishi Sunak, kedua (kanan), berjalan semasa pertemuan dengan Presiden AS, Joe Biden, kedua (kiri), dan Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese (kiri), di pangkalan tentera laut Point Loma di San Diego, California, 13 Mac 2023, sebagai sebahagian daripada AUKUS. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda