Ahad, 23 November 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Aura KRU masih ‘menyala’ selepas 30 tahun

    Selepas lebih 30 tahun mewarnai industri hiburan Malaysia, kumpulan legenda, KRU terus membuktikan jenamanya masih relevan apabila tersenarai dalam kelompok 10 Teratas Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) ke-37.

    Dianggotai Datuk Norman Abdul Halim, Datuk Yusry dan Edry Abdul Halim, KRU mengakui tidak menyangka masih menerima sokongan luar biasa daripada peminat meskipun sudah lama tidak bersaing secara aktif di pentas muzik arus perdana.

    “Kami sudah menang beberapa kali, alhamdulillah. Tak sangka selepas sekian lama, nama KRU kembali tersenarai. Kalau kategori ini ada had umur, mungkin kami sudah tak layak masuk.

    “Ini satu penghargaan besar daripada peminat. Kita perlu bersyukur atas setiap kejayaan, besar atau kecil, menang atau kalah. Apa yang penting ialah terus menyertai dan kekal aktif kerana tanpa penyertaan, sukar untuk bertahan dalam industri. Semangat itu yang harus sentiasa ada,” katanya ditemui pada sidang media STAR KRUise Showcase di Mutiara Damansara, di sini, baru-baru ini.

    Norman berkata, pencalonan itu dianggap sebagai satu penghargaan besar buat semua peminat yang tidak jemu memberi sokongan sejak 1992.

    “Kami sangat bersyukur dan berterima kasih. Anugerah ini bukan sekadar soal menang atau kalah, tapi tanda kasih peminat terhadap perjuangan kami.

    “Dulu memang ada tekanan untuk menang, tapi kali ini kami lebih tenang. Terus terang, bila diumumkan layak ke 10 Teratas, kami memang sudah buat celebration. Layak ke 20 Teratas pun cukup buat kami gembira, apatah lagi bila tersenarai dalam 10 Teratas,” katanya.

    Yang turut tersenarai dalam kategori sama ialah Aisha Retno & Aziz Harun, Akim & The Majistret, Barbarik, De Fam, Dolla, Drama Band, Insomniacks, Nur Fazura & Fattah Amin, serta Wany Hasrita & Khai Bahar.

    Dalam pada pada itu, Norman tidak menolak bahawa kejayaan siri Konsert GenKRU di Axiata Arena, Bukit Jalil, Mei lalu, serta konsert penutup GenKRU The Finale: One More Time, banyak membantu memperkukuh nama mereka dalam radar peminat muda.

    “Konsert, lagu baharu dan aktiviti promosi semuanya memainkan peranan. Kalau hanya buat konsert tanpa karya baharu, mungkin kami tak tercalon. Tahun ini memang tahun yang bermakna buat KRU,” katanya.

    Sementara itu, trio adik beradik itu kini bersiap sedia mempersembahkan STAR KRUise Showcase, sebuah persembahan eksklusif yang bakal membawa KRU dan peminat berlayar di atas kapal mewah Star Voyager Cruise (SVO) selama lima hari empat malam.

    Dibawakan oleh Suka Cruise dengan sokongan Star Dream Cruise dan Sony Music Malaysia, pelayaran ini dijadualkan berlangsung pada 25 hingga 29 Januari 2026 (berlepas dari Singapura) dan 26 hingga 30 Januari 2026 (berlepas dari Port Klang).

    “Ini pengalaman pertama kami membuat persembahan di atas kapal persiaran. Ia lebih intim dan peribadi, bukan sekadar konsert besar-besaran. Kami mahu cipta kenangan manis bersama peminat,” kata Norman.

    Tambahnya, penganjuran persembahan di atas kapal itu menjadi simbol kejayaan dan kreativiti industri hiburan tanah air yang terus berkembang.

    “Kami tak buat showcase ini untuk cari populariti, tetapi untuk berikan pengalaman baharu yang sukar dilupakan. Ia bukan sekadar pelayaran, tapi perjalanan kenangan antara KRU dan peminat,” katanya. – Agensi

    Kumpulan KRU tidak menyangka masih menerima sokongan luar biasa daripada peminat. – Malay Mail

     

     

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda