CANBERRA, 17 NOV – Lebih 70 sekolah di Canberra diarah tutup pada Isnin susulan kebimbangan mengenai kemungkinan pencemaran asbestos daripada produk pasir hiasan.
Kerajaan Wilayah Ibu Negara Australia (ACT) berkata 71 daripada 94 sekolah awam di Canberra dan kawasan sekitar akan ditutup hari ini selepas semakan menemukan penggunaan meluas produk pasir yang mengandungi asbestos. Ia berlaku selepas 24 sekolah dan prasekolah di ACT ditutup sepenuhnya atau sebahagian pada Jumaat, dengan dua daripadanya dibuka semula pada Isnin.
Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Australia (ACCC) pada Rabu mengeluarkan notis penarikan balik terhadap sejenis pasir hiasan berwarna selepas ujian makmal mengesan asbestos jenis krisotil.
Kelmarin, ACCC memaklumkan asbestos turut dikesan dalam empat lagi produk pasir dan memberi amaran bahawa ia mungkin menimbulkan risiko terhadap kesihatan awam.
Menteri Pendidikan ACT, Yvette Berry memberitahu radio Australian Broadcasting Corporation (ABC) bahawa risiko kesihatan kepada pelajar dan kakitangan adalah rendah, namun penutupan sekolah boleh berlarutan selama beberapa hari.
Pada Ahad, ACCC menjelaskan bahawa asbestos boleh disedut tidak ditemukan dalam sampel ujian dan pelepasannya hanya berpotensi berlaku sekiranya pasir itu dihancurkan atau digiling secara mekanikal. – Bernama

