SOUTHAMPTON, 17 Dis – Charlie Austin meleburkan rekod tanpa kalah Arsenal dalam 22 perlawanan apabila penyerang Southampton itu menghukum kecuaian penjaga gol Gunners, Bernd Leno untuk membantu Southampton meraih kemenangan 3-2 semalam.
Austin berjaya meledak gol dalam pertembungan genting di St Mary apabila tandukannya menerjah gawang selepas Leno gagal menangkap hantaran lintang Shane Long.
Dalam perlawanan itu, Southampton mendahului perlawanan sebanyak dua kali menerusi Danny Ings sebelum dua jaringan Henrikh Mkhitaryan membantu Arsenal menyamakan kedudukan.
Kesilapan Leno dan kebijakan Austin menyebabkan Arsenal mengalami kekalahan pertama dalam 15 perlawanan liga sekali gus menjejaskan rekod tanpa kalah paling lama dalam semua kejohanan sejak 2007.
Skuad kendalian Unai Emery belum pernah kalah sejak tewas 3-2 kepada Chelsea pada Ogos lalu dan kekalahan pertama sejak musim panas itu menyebabkan Gunners ketinggalan dua mata di belakang Chelsea yang mencatat kemenangan di Brighton semalam.
Kemenangan pertama Southampton dalam 15 pelawanan itu adalah satu kegembiraan buat pasukan tersebut.
Pengurus Southampton, Ralph Hasenhuttl, mengendalikan perlawanan pertama di tempat sendiri meraikan kemenangan itu sejurus selepas tamat perlawanan.
Hasenhuttl menyaksikan Southampton tewas 1-0 kepada Cardiff dalam perlawanan pertamanya dan minggu ini, dia memberi baucer minuman percuma kepada pemegang tiket semusim.
Sementara itu, Laurent Koscielny membuat penampilan pertama Liga Perdana sejak April lalu selepas pulih daripada kecederaan Achilles tetapi tonggak pertahanan Arsenal itu gagal pamerkan aksi terbaik apabila Southampton mendahului perlawanan pada minit ke-20. – AFP