SYDNEY, 7 OGOS – Polis Australia sedang menyiasat sama ada terdapat unsur khianat berhubung kematian tiga orang dalam kejadian yang disyaki sebagai keracunan cendawan, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Empat orang dikejarkan ke hospital pada 30 Julai apabila jatuh sakit selepas makan di sebuah rumah berhampiran Melbourne.
Dua wanita meninggal dunia di hospital Jumaat lalu, manakala seorang lelaki meninggal dunia pada Sabtu. Seorang lagi lelaki dalam keadaan kritikal.
Polis Victoria melaksanakan waran geledah di sebuah hartanah pada hujung minggu dan menemu bual seorang wanita yang kemudian dibebaskan sementara menunggu siasatan lanjut. “Siasatan berhubung kejadian itu masih diteruskan dan polis bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan berhubung kes berkenaan,” menurut kenyataan polis.
Pada April, Jabatan Kesihatan Victoria mengeluarkan amaran kepada orang ramai mengenai kewujudan cendawan beracun, termasuk cendawan Death Cap dan cendawan berwarna kuning, yang tumbuh di negeri itu. – Bernama
