Australia alami hari paling panas

SYDNEY, 18 DIS – Australia minggu ini mengalami rekod hari paling panas dan gelombang panas dijangka semakin memburuk, yang dijejaskan lagi dengan musim kebakaran hutan, kata pihak berkuasa hari ini.

Purata suhu seluruh negara sekitar 40.9 darjah Celsius (105.6 darjah Fahrenheit) kelmarin mengatasi rekod sebelumnya 40.3 darjah Celsius pada Januari 2013, kata Biro Meteorologi.

“Kepanasan ini akan hanya bertambah kuat hari ini,” kata ahli meteorologi, Diana Eadie.

Gelombang panas menjadi salah satu lagi amaran tentang pemanasan global di Australia, di mana awal tahun ini dan permulaan tegang musim kebakaran hutan telah menambah tekanan ke atas kerajaan Australia untuk melakukan banyak usaha dalam menangani perubahan iklim.

Ratusan kebakaran hutan telah berlaku di seluruh Australia selama berbulan-bulan termasuk kebakaran ‘besar’ di utara Sydney, bandar terbesar di negara itu.

Asap daripada kebakaran itu telah menyelubungi Sydney, meningkatkan pencemaran udara ke paras berbahaya yang mencetuskan doktor-doktor melabelkan peristiwa itu ‘kecemasan kesihatan awam’.

Kira-kira tiga juta hektar (7.4 juta ekar) tanah telah terbakar di seluruh Australia, dengan enam orang terkorban dan kira-kira 700 buah rumah musnah.

Para saintis berkata kebakaran tiba awal dengan lebih intensiti daripada biasa akibat pemanasan global dan musim kemarau yang panjang mengakibatkan tanah menjadi kering dan banyak bandar kekurangan air. – AFP