SYDNEY. 28 Feb – Australia telah melalui musim yang paling panas bermula Disember lalu hingga Februari dan ramalan kaji cuaca menunjukkan musim luruh di bahagian selatan akan lebih kering dan panas berbanding biasanya, menurut pihak kerajaan hari ini.
“Selepas mencatat rekod cuaca panas pada Disember dan Januari, ia tidak mengejutkan bahawa musim panas pada kali ini akan menjadi yang terpanas dalam rekod,” menurut pengurus ramalan kaji cuaca jarak jauh di Biro Meteorologi, Andrew Watkins.
Meskipun angka akhir belum dapat diketahui sehingga esok, biro berkata purata maksimum sudah jelas dan purata suhu untuk tempoh tiga bulan pada musim panas lebih dua darjah Celcius lebih tinggi berbanding purata jangka panjang buat pertama kali.
Turunan hujan juga lebih rendah daripada yang biasa dan biro berkata ia menyaksikan tidak ada penurunan semasa kemarau yang telah melanda di beberapa buah tempat di timur dan tenggara Australia selama berbulan-bulan.
“Malangnya, pandangan tersebut tidak memberikan petanda yang kuat jika kita akan menyaksikan semula kadar turunan hujan pada paras sederhana atau lebih di kebanyakan tempat pada tempoh musim luruh,” menurut Watkins.
Sebelum ini, biro melaporkan bahawa Januari merupakan bulan yang paling panas yang pernah dicatatkan dalam rekod di Australia, apabila purata suhu di seluruh benua melebihi 30 darjah Celcius buat pertama kali.
Menurut Watkins, corak cuaca di Lautan Hindi dan Pasifik menyebabkan catatan suhu tertinggi dan turunan hujan yang rendah, tetapi tren perubahan iklim jangka panjang turut terlibat.
Pihak berkuasa berkata gelombang haba pada bulan Januari menyebabkan berjuta-juta ekor ikan mati di sistem sungai Murray-Darling yang merupakan sungai terbesar di negara itu. – AFP