SYDNEY, 21 JULAI – Australia membuka latihan ketenteraan berskala besar dengan Amerika Syarikat dan belasan lagi negara lain hari ini, ketika seorang pegawai kanan mendedahkan bahawa sebuah kapal pengintip China sedang memantau latihan itu.
Pegawai berkenaan secara rasmi melancarkan latihan Talisman Saber dwitahunan melibatkan lebih 30,000 tentera dari 13 negara, termasuk Britain, Jepun, Indonesia, Kanada dan Perancis.
Latihan itu diadakan di tengah-tengah kebimbangan yang semakin meningkat tentang ancaman yang ditimbulkan oleh China kepada rantau itu, yang tidak turut serta dalam latihan ketenteraan itu.
Bercakap pada sidang akhbar di atas kapal HMAS Canberra, Ketua Operasi Bersama Australia, Leftenan Jeneral Greg Bilton memberitahu pemberita bahawa sebuah kapal pengintip China telah dikesan di luar pantai timur laut negara itu pada hari sebelumnya.
“Kami menghubungi kapal itu kelmarin dan menyambut kapal itu di Laut Karang,” katanya.

“Kemungkinan ia akan bergerak ke bawah dan menyertai latihan atau berada di lokasi latihan semula.
“Mereka telah melakukan itu selama beberapa tahun, kami sudah bersedia untuk itu,” tambahnya.
Beliau berkata respons China terhadap komunikasi Australia adalah mesra dan mengikut norma biasa di laut.
Australia dan AS telah menyatakan dengan jelas bahawa mereka memantau rapi aktiviti China di rantau Asia-Pasifik.
Australia telah mengumumkan langkah bagi membangunkan kemudahan ketenteraan di wilayah utaranya, sambil juga mengatakan bahawa kehadiran tentera AS di sana akan meningkat dalam beberapa tahun akan datang.
Strategi Indo-Pasifik AS tahun lalu mengumumkan usaha untuk bekerjasama lebih rapat dengan sekutu serantau bagi membentuk wilayah sekitar China untuk menumpulkan pengaruh Beijing. – AFP

