CANBERRA, 12 SEPT – Tindakan menyebarkan maklumat peribadi seseorang tanpa kebenaran, dikenali sebagai doxxing akan dijadikan sebagai kesalahan jenayah di Australia di bawah undang-undang privasi kerajaan baharu.
Mark Dreyfus, Peguam Negara Australia, hari ini memperkenalkan undang-undang kepada parlimen yang akan menjadikan doxxing sebagai kesalahan dan memberi hak kepada mangsa pencerobohan privasi yang serius untuk mendapatkan pampasan melalui sistem mahkamah.
Di bawah undang-undang itu, sesiapa yang didapati bersalah atas pembebasan berniat jahat data peribadi dalam talian atau doxxing akan menghadapi hukuman penjara.
Undang-undang itu mengenakan hukuman maksimum penjara enam tahun kerana menerbitkan maklumat peribadi seseorang dengan niat mendatangkan bahaya.
Hukuman penjara maksimum akan dinaikkan kepada tujuh tahun dalam kes di mana seseorang atau kumpulan disasarkan berdasarkan agama, bangsa, jantina, ketidakupayaan, kewarganegaraan atau asal etnik mereka.
Langkah untuk menjadikan doxxing sebagai jenayah adalah sebahagian daripada pembaharuan yang lebih luas yang dikatakan Dreyfus akan membawa Akta Privasi sedia ada ke era digital.
“Undang-undang privasi yang kukuh adalah penting untuk kepercayaan dan keyakinan rakyat Australia terhadap ekonomi digital dan perkhidmatan digital yang disediakan oleh kerajaan dan industri,” katanya dalam satu kenyataan.
“Rakyat Australia mempunyai hak untuk memastikan privasi mereka dihormati dan apabila mereka diminta menyerahkan data peribadi mereka, mereka mempunyai hak untuk mengharapkan ia akan dihormati,” sambungnya.
Selain itu, undang-undang baru yang diperkenalkan juga akan memberikan hak kepada warga Australia untuk menuntut ganti rugi jika mereka telah menjadi mangsa pencerobohan privasi yang serius.
Dreyfus berkata rang undang-undang itu adalah peringkat pertama komitmen kerajaan untuk menyediakan kawalan yang lebih besar ke atas maklumat peribadi warga Australia. – Xinhua