Wednesday, July 16, 2025
25 C
Brunei

    Berita Terkini

    Australia bangunkan ujian darah AI kesan awal kanser payudara

    SYDNEY, 16 JULAI – Para saintis telah membangunkan ujian darah berasaskan lipid berkuasa kecerdasan buatan (AI) yang pertama di Australia, membolehkan pengesanan kanser payudara yang lebih awal dan kurang invasif, lapor Xinhua.

    Menurut kenyataan Universiti New South Wales (UNSW) yang disiarkan oleh Medianet hari ini, ujian itu kini telah digunakan secara klinikal di beberapa klinik pakar di Sydney dan Melbourne selepas beralih daripada fasa penyelidikan pada Mac 2025.

    Berbeza dengan teknik pengimejan dan biopsi tradisional yang boleh terlepas mengesan ketumbuhan serta membawa risiko tertentu, ujian darah berkuasa AI ini mengesan isyarat molekul halus dalam darah yang membolehkan diagnosis kanser dibuat beberapa bulan atau bahkan tahun sebelum gejala muncul, kata Profesor Madya Fatemeh Vafaee dari UNSW.

    AI memacu kejayaan dengan menganalisis berjuta-juta penanda molekul untuk mengesan tanda-tanda kanser awal, menurut Vafaee dan Makmal AI Bioperubatannya di UNSW.

    “Dengan mengintegrasikan teknik AI yang boleh dijelaskan, kami memastikan model ini bukan sahaja memberikan keputusan yang tepat, malah memberikan pandangan yang boleh ditafsir secara klinikal -penting untuk membina kepercayaan dan menyokong proses membuat keputusan dalam penjagaan kesihatan dunia sebenar,” katanya.

    Makmal itu sedang menyumbang kepada usaha global untuk menjadikan ujian darah berasaskan AI sebagai sebahagian daripada saringan kanser payudara standard, menawarkan pilihan baharu yang berguna terutama bagi wanita yang mempunyai tisu payudara padat dan kurang sesuai untuk pengimejan tradisional, menurut pasukan UNSW bersama syarikat bioteknologi Australia, BCAL Diagnostics.

    Pasukan itu kini sedang membangunkan ujian pelbagai analit yang menggabungkan pelbagai penanda bio bagi mengesan kanser dengan lebih tepat merentasi pelbagai jenis termasuk paru-paru, hati dan otak. Mereka juga sedang meneroka ujian menggunakan bendalir bio lain seperti air kencing dan air liur, sambil berusaha mengintegrasikan pelbagai data untuk memberikan gambaran kesihatan pesakit yang lebih menyeluruh, kata Vafaee. – Bernama

    Envato

     

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda