CANBERRA, Australia, 16 Jun – Australia akan membenarkan pemilik senapang menyerah senjata api tanpa denda mulai bulan depan tatkala kebimbangan mengenai jenayah senapang meningkat yang membabitkan senjata tersebut, kata seorang menteri persekutuan hari ini.
Amnesti selama tiga bulan di seluruh negara mengenai penyerahan senjata api adalah yang pertama di Australia sejak 1996, apabila seorang lelaki bersenjata membunuh 35 orang di negeri Tasmania dan menerima sokongan untuk melaksanakan kawalan senapang yang ketat.
Menteri Keadilan Michael Keenan berkata amnesti baru itu diperlukan untuk mengurangkan jumlah senapang dalam komuniti disebabkan ancaman keselamatan baru termasuk fahaman pelampau Islam.
Terdapat lima kejadian ganas di Australia yang digambarkan oleh kerajaan sebagai serangan pengganas sejak tahap ancaman keganasan negara dinaikkan pada September 2014. Tiga membabitkan senapang dan dua membabitkan pisau.
“Kami hidup dalam era apabila persekitaran keselamatan negara kami telah pun merosot,” kata Keenan.

Keenan berkata penyerahan senapang yang tidak dikehendaki dalam komuniti akan mengurangkan peluang senapang berkenaan daripada jatuh ke tangan penjenayah ganas.
“Jangkaan saya adalah tidak mungkin berlakunya kejadian di mana kami mempunyai penjenayah, misalnya, yang telah berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan senapang dan menyerahnya,” kata Keenan.
“Namun tujuan amnesty ini adalah untuk mengurangkan jumlah senjata api yang tidak berdaftar dalam komuniti,” tambah beliau.
Amnesti 1996 juga termasuk satu program pembelian balik senapang. Pembunuhan Port Arthur mendorong kerajaan negeri meluluskan sekatan ketat ke atas senjata tembakan bertubi-tubi dan membeli balik hampir 70,000 senapang yang diharamkan baru-baru ini.
Biro Statistik Australia menunjukkan negara telah mengimport hampir 1.2 juta senapang sah. Senapang patah semi-automatik gaya tentera terus diharamkan daripada pemilikan awam. – AP