CANBERRA, 8 Ogos – Negeri yang paling ramai penduduknya di Australia telah diisytiharkan sepenuhnya dilanda kemarau hari ini dan para petani diberikan kebenaran untuk menembak kanggaru yang mengganggu ternakan mereka.
Kebanyakan tempat di tenggara Australia telah bergelut dengan kemarau. Akan tetapi, keadaan kemarau di New South Wales tahun ini telah menjadi kemarau yang teruk sejak tahun 1965.
Kerajaan negeri berkata hari ini bahawa 100 peratus kawasan tanah di New South Wales iaitu lebih daripada 800,000 kilometer persegi kini dalam keadaan kemarau. Menteri Perindustrian Utama, Niall Blair berkata bahawa petani mengalami satu musim sejuk Hemisfera Utara yang paling kering di dunia.
“Ini agak sukar. Tidak ada orang di negeri ini yang tidak berharap untuk melihat hujan bagi para petani dan komuniti serantau,” kata Blair dalam satu kenyataan. Takungan air ladang telah kering dan tanaman menjadi layu. Kerajaan negeri dan persekutuan menyediakan bantuan kewangan, tetapi tidak mencukupi untuk para petani.
Dengan keadaan kering dijangka berterusan untuk tiga bulan akan datang, para petani terpaksa memutuskan sama ada akan meneruskan tugas berat untuk menyediakan makanan bagi lembu dan kambing biri-biri atau menjual ternakan mereka. – AP