Friday, January 10, 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Australia beri subsidi pinjaman EV untuk petani, perniagaan

    CANBERRA, 9 JAN – Kerajaan Australia mengumumkan ia akan memberi subsidi pinjaman pembelian kenderaan elektrik (EV) komersial dalam usaha untuk menyahkarbonkan ekonomi negaranya, lapor Xinhua.

    Menteri Perubahan Iklim dan Tenaga, Chris Bowen hari ini komited untuk memperuntukkan dana kerajaan sebanyak A$50 juta (AS$31 juta) untuk memberi subsidi pinjaman EV kepada petani, syarikat pengangkutan dan perniagaan kecil serta sederhana yang lain.

    Bowen berkata skim yang akan disalurkan melalui Perbadanan Kewangan Tenaga Bersih kerajaan, akan memberi lebih banyak pilihan kenderaan yang lebih bersih dan murah untuk digunakan kepada pemandu Australia.

    “Teknologi bersih seperti EV, tenaga suria, bateri dan mesin elektrik adalah cara yang baik untuk perniagaan mengurangkan bil tenaga dan mengurangkan jejak karbon,” katanya.

    Skim yang serupa juga membantu rakyat Australia membeli lebih 4,000 EV pada 2024, dengan pinjaman yang disubsidi oleh kerajaan sebanyak A$50 juta. Pada Disember lalu, Bowen juga mengumumkan program bernilai A$150 juta (AS$93 juta) untuk membantu rakyat Australia yang berpendapatan kurang daripada A$100,000 (AS$62,000) setahun untuk membeli EV.

    Menurut data yang dikeluarkan oleh kumpulan industri utama, Majlis Kenderaan Elektrik, pada Isnin, EV mencatatkan 9.6 peratus jualan kereta baharu tertinggi di Australia pada 2024, berbanding 8.4 peratus pada 2023. – Bernama

    Gambar fail menunjukkan kereta elektrik dicas di England pada 8 Ogos 2023. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda