Thursday, February 6, 2025
25.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Australia berjaya lakukan pembiakan kanggaru IVF pertama

    SYDNEY, 6 FEB – Para saintis Australia berkata mereka telah berjaya menghasilkan embrio kanggaru pertama di dunia melalui persenyawaan in vitro (IVF) dan menganggapnya sebagai langkah penting dalam menyelamatkan spesies haiwan mamalia berkantung atau marsupial yang terancam.

    Kajian yang diketuai oleh Universiti Queensland menyatakan mereka menggunakan teknik berkenaan pada berjuta-juta kanggaru jenis kelabu timur.

    “Australia adalah rumah yang terbesar kepada pelbagai marsupial di planet ini tetapi ia juga mempunyai kadar kepupusan mamalia tertinggi,” kata ketua penyelidik Andres Gambini dalam satu kenyataan.

    “Matlamat utama kami adalah untuk menyokong pemeliharaan spesies marsupial terancam seperti koala, Tasmanian devils, wombat hidung berbulu dari utara dan possum jenis Leadbeater.”

    Para saintis menghasilkan embrio dengan teknik yang melibatkan suntikan satu sperma terus ke dalam telur yang matang.

    “Oleh kerana populasi kanggaru kelabu timur terlalu banyak, kami mengumpul telur dan sperma haiwan ini untuk digunakan sebagai model dalam menyesuaikan teknologi embrio yang telah digunakan untuk haiwan peliharaan dan manusia, ” kata Gambini.

    “Kami kini sedang memperhalusi teknik ini untuk mengumpul, mengkultur dan memelihara telur dan sperma marsupial lain.”

    Dengan kerjasama yang betul, pendanaan dan kemajuan teknikal, kelahiran marsupial yang dibantu IVF mungkin boleh dilakukan dalam tempoh sedekad, kata penyelidik itu.

    Jumlah keseluruhan kanggaru turun naik antara 30 juta dan 60 juta di Australia dan ia sering dihapuskan untuk memastikan populasi terkawal.

    Populasi haiwan berkenaan sememangnya turun dan naik – apabila makanan ternakan banyak selepas musim hujan, bilangan mereka boleh meningkat berpuluh-puluh juta.

    Tetapi beberapa populasi marsupial lain jauh lebih tidak menentu.

    Sebagai contoh, dianggarkan hanya tinggal 20,000 hingga 50,000 ekor Tasmanian devil yang masih hidup di alam liar setelah berkurangan daripada 150,000 akibat serangan penyakit tumor muka yang misteri pada pertengahan 1990-an.

    Penyelidikan IVF kanggaru berkenaan telah diterbitkan dalam jurnal Reproductive, Fertility and Development. – AFP

    Saintis Austarila berjaya biakkan kanggaru melalui teknik IVF. – Gambar Unsplash
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda