Wednesday, February 19, 2025
22.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Australia berjaya sembuhkan pesakit kanser kulit lanjutan

    SYDNEY, 18 FEB – Ujian klinikal Australia menunjukkan yang majoriti pesakit melanoma yang kansernya merebak ke otak boleh disembuhkan dengan imunoterapi gabungan, lapor Xinhua.

    Institut Melanoma Australia (MIA) hari ini mengeluarkan keputusan susulan tujuh tahun daripada ujian klinikal yang dijalankan antara 2014 dan 2017, menunjukkan bahawa kelangsungan hidup jangka panjang boleh dicapai bagi pesakit kanser kulit lanjutan.

    Peserta dalam percubaan asal yang menghidap melanoma tahap empat yang telah merebak atau bermetastasis ke otak dirawat sama ada dengan imunoterapi gabungan menggunakan ubat-ubatan, nivolumab dan ipilimumab, atau imunoterapi ejen tunggal menggunakan nivolumab sahaja.

    Data jangka panjang menunjukkan kadar kelangsungan hidup sebanyak 51 peratus dalam kalangan peserta yang diberi imunoterapi gabungan sebagai rawatan pertama.

    Dalam kalangan semua peserta yang diberi imunoterapi gabungan, kadar kelangsungan hidup tujuh tahun adalah 48 peratus.

    Pesakit dengan melanoma lanjutan yang telah merebak ke otak sebelum ini dijangka hanya dapat bertahan selama 16 minggu.

    “Ini membuktikan bahawa kami telah mencapai kawalan penyakit jangka panjang dalam kalangan pesakit melanoma lanjutan ini,” kata Georgina Long, pengarah perubatan MIA dan mengetuai kajian itu.

    “Kami kini yakin bahawa pesakit ini telah sembuh, satu istilah yang tidak digunakan dengan mudah dalam kanser. Imunoterapi gabungan ini harus menjadi standard rawatan bagi pesakit melanoma dengan metastasis otak,” katanya. – Bernama

    Gambar Envato
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda