Australia, Britain mula rundingan ekonomi

SYDNEY, 17 JUN – Britain dan Australia secara rasmi akan membuka rundingan mengenai perjanjian perdagangan bebas pasca-Brexit hari ini, kata pegawai tertinggi perdagangan Canberra, yang menyuarakan harapan agar kesepakatan dapat dicapai tahun ini.

“Australia dan United Kingdom akan secara rasmi memulakan rundingan perdagangan bebas,” kata Menteri Perdagangan, Simon Birmingham, dalam satu ucapan sambil menambah bahawa Australia perlu mempelbagaikan perdagangan lebih-lebih lagi ketika berdepan pertikaian perdagangan dengan China.

Pemerintah konservatif Britain telah menyatakan penarikan diri dari Kesatuan Eropah (EU) bagi tujuan untuk mempererat hubungan perdagangan dengan rakan global.

Walaupun rundingan sudah berlangsung, rundingan formal ditangguhkan sehingga Britain meninggalkan blok itu pada Januari.

Birmingham memberi amaran bahawa walaupun Australia-Britain bakal menjalinkan kerjasama, tetapi keputusannya tidak mungkin sama seperti apa yang dilihat pada tahun 1970an – sebelum Britain bergabung dengan ekonomi EU dan ketika perdagangan terakhirnya difokuskan pada bekas jajahannya.

Pesuruhjaya Tinggi Britain ke New Zealand, Laura Clarke ( kiri), Menteri Perdagangan New Zealand David Parker (tengah) dan Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern ketika bercakap dengan wartawan kelmarin, di Wellington, New Zealand. – AP

“Australia akan berusaha untuk mendapatkan akses pasaran yang lebih baik untuk eksport barangan, terutama dalam pertanian dan peraturan piawaian tinggi mengenai perdagangan dan pelaburan digital,” katanya.

Perbincangan mengenai perjanjian perdagangan Australia-EU sudah berjalan, dan Birmingham mengatakan Canberra juga ingin menyelesaikannya tahun ini.

Tetapi dia mengakui akan menjadi tugas yang sukar dengan rundingan mengenai beberapa perjanjian perdagangan yang berlaku secara serentak.

Dia enggan mengatakan sama ada perjanjian dengan EU atau Britain akan diutamakan.

“EU merupakan pasaran yang jauh lebih besar, dan walaupun selepas Brexit, ia tetap menjadi pasaran yang jauh lebih besar. Tetapi itu tidak bermakna UK bukanlah pasaran yang signifikan,” katanya. – AFP