CANBERRA, 27 Feb – Menteri Pertahanan Australia, Christopher Pyne hari ini mengumumkan pelaburan berjumlah AS$28.7 juta untuk dron tanpa manusia.
Pyne membuat pengumuman itu di pameran perdagangan aeroangkasa Avalon, luar Melbourne ketika mendedahkan prototaip pesawat udara tanpa pemandu (UAV), yang diberi nama ‘Loyal Wingman’ yang dimajukan oleh Boeing dan Tentera Udara Diraja Australia (RAAF).
Ia merupakan kali pertama pesawat tempur direka dan dimajukan di Australia dalam tempoh lebih 50 tahun.
Dron tersebut dianggarkan mempunyai saiz yang sama dengan jet pejuang tradisi dan akan dikerahkan bagi membantu Joint Strike Fighters (JSF) Australia dengan memberikan bantuan dari segi pemantauan dan perlin-dungan daripada serangan musuh.
Di bahagian bawah prototaip itu merupakan muatan yang boleh membawa pengesan atau kelengkapan perang elektronik yang berkemungkinan boleh membawa senjata.
Direka untuk diterbangkan bagi kejauhan beberapa ribu kilometer, dron tersebut yang juga pilihan yang lebih murah berbanding pesawat yang dikendalikan oleh manusia, akan digunakan untuk melaksanakan misi perang elektronik dan pemantauan. Dalam satu kenyataan, Boeing menjelaskan bahawa reka bentuk dron tersebut akan menjadi sebahagian daripada program antarabangsa yang sama dengan JSF, yang mempunyai sembilan buah negara rakan kerjasama dan lebih banyak pelanggan. – Xinhua