Friday, May 9, 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Australia diancam penggodam yang disokong kerajaan

    SYDNEY, 15 NOV – Australia berdepan ‘ancaman berterusan’ daripada penggodam yang disokong kerajaan, kata agensi perisikan isyarat negara itu hari ini, menekankan bahaya khusus serangan siber Rusia dan China ke atas infrastruktur penting.

    Australia telah dilanda beberapa serangan siber berprofil tinggi dalam tempoh 12 bulan yang lalu, termasuk satu penggodaman pada hujung minggu lalu yang melumpuhkan pelabuhan utama selama tiga hari.

    Tanpa menyalahkan penggodaman atau pencerobohan tertentu, Direktorat Isyarat Australia menganggap Moscow dan Beijing sebagai antara ancaman siber terbesar kepada negara itu dalam laporan terbaharunya.

    Penggodam yang disokong kerajaan mungkin akan terus menyasarkan bekalan air dan grid elektrik, kata direktorat itu, dan berkemungkinan akan meningkatkan usaha untuk mencuri rahsia ketenteraan dari Australia dan sekutunya.

    Laporan itu memberikan amaran bahawa pakatan pertahanan Australia dengan United Kingdom dan Amerika Syarikat (AUKUS) boleh menjadi sasaran utama.

    Di bawah perjanjian AUKUS, Australia dijadualkan untuk memperoleh kapal selam berkuasa nuklear dan membangunkan teknologi canggih seperti kecerdasan buatan dan peluru berpandu hipersonik.

    “Kerjasama AUKUS, dengan tumpuannya pada kapal selam nuklear dan keupayaan ketenteraan canggih yang lain, berkemungkinan menjadi sasaran untuk pihak berwajib negara yang ingin mencuri harta intelek bagi program ketenteraan mereka sendiri,” kata laporan itu. – AFP

    Menteri Pertahanan Australia, Richard Marles semasa berucap di Bangunan Parlimen di Canberra, kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda