Sunday, September 29, 2024
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Australia ‘didesak’ lindungi Terumbu Sawar Besar

    SYDNEY, 25 JUN – Australia mesti mengambil tindakan ‘segera’ untuk melindungi Terumbu Sawar Besar, termasuk menetapkan sasaran iklim yang lebih tinggi, kata organisasi kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

    Dalam draf keputusan, Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) juga meminta Australia menghantar laporan kemas kini mengenai usaha perlindungannya awal tahun depan, tetapi tidak mengesyorkan terumbu itu disenaraikan dalam tapak warisan terancam.

    Keputusan yang dikeluarkan lewat semalam, disambut oleh Menteri Alam Sekitar dan Air Australia, Tanya Plibersek sebagai ‘kemenangan besar’.

    “Kami bertindak terhadap perubahan iklim, meningkatkan kualiti air tempatan, melindungi hidupan marin kami, menangani spesies invasif dan melabur sejumlah besar wang ke dalam program terumbu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Namun keputusan UNESCO, yang akan membimbing mesyuarat Jawatankuasa Warisan Dunia di New Delhi bulan depan, memberi amaran sistem karang terbesar di dunia itu ‘kekal dalam ancaman serius’.

    Penyelam memeriksa karang yang telah luntur dan mati di sekitar Pulau Lizard di Terumbu Sawar Besar pada April 2024. – AFP

    “Tindakan segera dan berterusan perlu diutamakan,” tambahnya.

    Nasib terumbu itu sering menimbulkan perbalahan antara UNESCO dan pihak berkuasa Australia, dengan Jawatankuasa Warisan Dunia mengancam untuk meletakkan sistem terumbu karang terbesar di dunia itu dalam senarai tapak warisan global ‘terancam’.

    Diplomasi dan lobi di balik tabir dari Australia telah menghalang langkah sedemikian dan komitmen daripada kerajaan Buruh pimpinan Anthony Albanese telah mendapat pujian daripada organisasi yang berpangkalan di Paris itu. Draf keputusan itu mengalu-alukan beberapa langkah yang diambil oleh Australia, termasuk mengenai kualiti air di sekitar terumbu dan sekatan ke atas penangkapan ikan menggunakan pukat jaring.

    Namun ia meluahkan kebimbangan mengenai pembersihan tanah yang mengancam kualiti air pada tahap ‘amat membimbangkan’ dan berkata Australia harus ‘menetapkan sasaran pengurangan pelepasan yang lebih bercita-cita tinggi’. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda