SYDNEY, 17 APRIL – Perdana Menteri Anthony Albanese berjanji kelmarin, untuk mempertahankan kepentingan Australia dalam isu perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS), dalam satu debat yang disiarkan secara langsung menjelang pilihan raya kebangsaan pada 3 Mei.
Tarif sebanyak 10 peratus yang dikenakan oleh Presiden AS, Donald Trump ke atas Australia — sekutu rapat Washington — menjadi topik utama dalam pertembungan antara Albanese, 62 tahun, dan pencabarnya dari blok konservatif, bekas pegawai polis Peter Dutton.
Ketika ditanya sama ada beliau mempercayai Presiden AS itu, Albanese menjawab bahawa beliau ‘tiada sebab untuk tidak mempercayainya, meskipun Trump sebelum ini berjanji akan memberi pertimbangan yang adil terhadap hujahan perdagangan bebas Canberra sebelum akhirnya tetap memutuskan untuk mengenakan tarif tersebut.
“Kami sudah nyatakan dengan jelas bahawa tindakan itu umpama menyakiti diri sendiri,” kata pemimpin Parti Buruh berhaluan tengah-kiri itu.
Namun begitu, Albanese menegaskan bahawa pemerintahannya ‘tidak akan berganjak’ daripada dasar-dasar Australia yang bertujuan memastikan akses kepada ubat-ubatan murah, penguatkuasaan peraturan kesihatan ke atas import daging lembu, dan mewajibkan platform media sosial besar membayar bagi kandungan berita tempatan.
“Kami akan mempertahankan kepentingan nasional Australia, kerana itu sangat penting,” ujarnya.
Parti Buruh pimpinan Albanese kini mendahului tipis dalam beberapa tinjauan pendapat, dengan sesetengah penganalisis berpendapat bahawa sokongan awam meningkat berikutan kritikan terbukanya terhadap tarif AS, yang beliau kecam sebagai “bukan tindakan seorang sahabat”. – AFP
