SYDNEY, 16 SEPT – Para pemimpin Fiji dan Australia bersetuju untuk merangsang hubungan dua hala hari ini ketika mereka berusaha untuk melancarkan hubungan berikutan pertikaian perubahan iklim semasa sidang kemuncak Pasifik bulan lalu.
Perdana Menteri Scott Morrison mengalu-alukan rakan sejawatannya dari Fiji, Frank Bainimarama, beberapa minggu selepas pemimpin Pasifik mengecamnya ‘kerana menghina’, meninggi diri’ atas responsnya kepada kritikan keengganan Australia untuk menjadikan perubahan iklim satu dasar keutamaan.
Berlaku kekecohan semasa Forum Kepulauan Pasifik selepas Morrison menolak permintaan para pemimpin serantau yang menuntut kerajaannya agar mengharamkan lombong arang baharu dan loji tenaga berkuasa arang sebagai sebahagian daripada gesaan mereka bagi tindakan iklim segera.
Ahli politik konservatif Australia itu membalas yang ke-rajaannya merupakan pembekal utama bantuan ke rantau Pasifik, mencetuskan cemuhan Bainimarama. Namun kedua-dua pemimpin itu memeterai nada perdamaian semasa mesyuarat dua hala hari ini, di mana mereka menandatangani ‘Rakan Kongsi Vuvale Fiji-Australia’.
Vuvale atau keluarga dalam Bahasa Fiji adalah ‘satu terma kemesraan, kekeluargaan dan sering menjadi asas hubungan kami,” kata Morrison.– AFP
