CANBERRA, AUSTRALIA, 1 APRIL – Perdana Menteri Scott Morrison berkata hari ini Australia akan menghantar kenderaan perisai Bushmaster ke Ukraine selepas Presiden Volodymyr Zelenskyy merayu penggubal undang-undang Australia meminta lebih banyak bantuan dalam perang Ukraine ke atas Rusia.
Zelenskyy menyampaikan ucapan kepada parlimen Australia semalam dan meminta kenderaan pacuan empat roda buatan Australia itu.
Morrison memberitahu wartawan kenderaan tersebut akan dihantar menerusi kapal terbang pengangkutan Boeing C-17 Globemaster. Beliau tidak menyatakan jumlah yang akan dihantar atau bila.
“Kami bukan sahaja menghantar doa kami, kami menghantar senjata kami, kami menghantar bantuan kemanusiaan, kami juga menghantar kenderaan perisai, Bushmaster,” kata Morrison.
Zelenskyy secara khusus meminta kenderaan Bushmaster.
“Awda mempunyai kenderaan perisai bersenjata yang amat bagus, Bushmaster, yang dapat membantu Ukraine, serta peralatan lain,” kata Zelenskyy.– AP
