BEIJING, 15 JULAI – ‘Dialog’ perlu menjadi teras dalam hubungan antara Canberra dan Beijing, kata Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese hari ini ketika beliau bertemu Presiden Xi Jinping di ibu negara China.
Albanese yang mengadakan lawatan kedua ke China sebagai Perdana Menteri, berusaha untuk mengukuhkan hubungan perdagangan yang stabil baru-baru ini walaupun ketegangan geopolitik kekal tinggi.
Hubungan antara Beijing dan Canberra telah mengalami perkembangan mencabar sepanjang tahun yang lalu, tempoh yang ditandai dengan perselisihan pendapat berulang kali mengenai keselamatan negara dan konflik kepentingan di seluruh wilayah Pasifik.
Hubungan bertambah baik Disember lalu apabila China menarik balik larangan ke atas udang karang batu diimport dari Australia, menghapuskan halangan terakhir untuk menamatkan perang perdagangan antara kedua-dua buah negara itu sejak 2017.
Albanese bertemu Xi di Dewan Besar Rakyat dan berkata beliau mengalu-alukan peluang untuk mengemukakan pandangan dan kepentingan Australia.

“Australia menghargai hubungan dengan China dan akan terus mengatasinya dengan cara yang aman dan konsisten, didorong oleh kepentingan nasional kami,” kata Ketua Kerajaan Buruh Australia, Albanese.
“Adalah penting kami mengadakan perbincangan langsung mengenai isu-isu yang penting yang membabitkan kestabilan dan kemakmuran rantau kami. Seperti yang kami telah bersetuju sebelum ini, dialog perlu menjadi teras hubungan kami,” katanya.
Xi, sebaliknya, memuji ‘manfaat’ hubu-ngan yang lebih baik antara China dan Australia, dengan berkata hubungan berkenaan semakin pulih.
Albanese berkata kepada pemberita selepas bertemu Xi, kedua-dua buah negara mempunyai ‘persaingan strategik’ di rantau ini tetapi terus terlibat untuk ‘menyokong keamanan dan keselamatan.’
China adalah salah satu rakan ekonomi terpenting Australia, menyumbang hampir satu pertiga daripada jumlah perdagangannya.
Semasa lawatan, Albanese telah diiringi oleh delegasi pemimpin perniagaan utama yang akan menghadiri meja bulat Ketua Pegawai Eksekutif di Beijing.
Lawatannya akan berakhir pada Jumaat, yang juga akan membawanya ke bandar barat daya Chengdu. – AFP