Saturday, May 10, 2025
24.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Australia isytihar darurat kebakaran hutan

    SYDNEY, 31 JAN – Pihak berkuasa di Canberra mengisytiharkan perintah darurat pertama dalam tempoh dua dekad, selepas kebakaran hutan kini dilaporkan merebak dan semakin menghampiri ibu negara.

    Ketua Menteri Wilayah Ibu Negara Australia (ACT), Andrew Barr, berkata keputusan itu diyakini paling berkesan buat masa ini dan akan kekal selagi Canberra berdepan risiko ancaman kebakaran hutan.

    “Kebakaran hutan mungkin akan berada di luar kawalan, justeru perintah darurat adalah isyarat paling mujarab untuk kita sampaikan kepada masyarakat ACT supaya mereka boleh melakukan persiapan berkaitan dan melindungi keluarga masing-masing,” katanya.

    Pihak berkuasa turut mengeluarkan amaran mengenai potensi serangan bara api yang berkemungkinan diterbangkan masuk ke rumah menerusi jendela kediaman penduduk.

    Kali terakhir perintah darurat diumumkan di Australia adalah pada 2003 ketika kejadian kebakaran hutan memusnahkan hampir 500 kediaman.

    Ancaman utama dikenal pasti berpunca daripada api yang marak di Lembah Orroral, sekali gus menyebabkan sekitar 18,000 hektar kawasan hutan hangus terbakar.

    Susulan peningkatan suhu melangkaui paras 40 darjah Celsius setakat semalam, pihak berkuasa di selatan Australia mengeluarkan amaran kebakaran membabitkan beberapa kawasan berisiko.

    Gelombang panas kini dijangka melanda Melbourne dan Canberra selepas suhu di sekitar Sydney diunjurkan mencecah 45 darjah Celsius menjelang hujung minggu ini.

    Pihak berkuasa berkata, cuaca panas dan angin bayu kering dikhuatiri memburukkan kebakaran belukar di sekitar kawasan New South Wales dan Victoria, di mana 80 zon di dua daerah terbabit masih dilanda kebakaran ketika ini. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda