CANBERRA, 28 JAN – Kerajaan Australia hari ini menjanjikan belanjawan 1 bilion dolar Australia lagi (AS$704 juta) dalam masa sembilan tahun bagi memperbaiki kesihatan Terumbu Sawar Besar selepas berjaya menangguhkan keputusan UNESCO menurunkan taraf status Tapak Warisan Dunia itu.
Pengkritik bagaimanapun memper-tikaikan bahawa pelaburan itu adalah satu bidaan untuk memperbaiki prestasi mesra alam parti pakatan konservatif menjelang pilihan raya namun dalam masa yang sama, tidak melakukan sebarang perubahan terhadap ancaman besar ke atas terumbu karang iaitu kenaikan suhu laut.
Daripada peruntukan itu, AUD$580 akan dibelanjakan ke atas kerja-kerja pengurusan tanah di sepanjang pesisir pantai timur laut Australia bagi mengurangkan hakisan, memperbaiki keadaan tanah dan mengurangkan nutrien serta pencemaran racun perosak.
Sekitar AUD$253 juta lagi akan menyokong Pihak Berkuasa Taman Marin Terumbu Sawar Besar yang menguruskan ekosistem terumbu karang terbesar dunia itu, dalam usaha mengurangkan ancaman dari tapak sulaiman dan mencegah penangkapan ikan haram.
Manakala AUD$93 juta diperuntukkan untuk penyelidikan bagi menjadikan terumbu karang itu lebih mapan dan mempertingkatkan strategi adaptasi.
“Kami menyokong kesihatan terum-bu dan ekonomi masa depan operator pelancongan, penyedia kemudahan hospitaliti dan komuniti Queensland yang merupakan pusat ekonomi terumbu,” kata Perdana Menteri Scott Morrison.
Dalam Julai tahun lalu, Australia meraih cukup sokongan antarabangsa untuk mengekang satu cubaan oleh UNESCO, organisasi budaya Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk menurunkan status Tapak Dunia terumbu itu kepada ‘dalam bahaya’ kerana kerosakan teruk akibat perubahan iklim. –AP
