Tuesday, May 13, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Australia kecewa hukuman pengebom Bali dikurangkan

    CANBERRA, 19 OGOS – Pemimpin Australia hari ini kecewa apabila Indonesia mengurangkan lagi hukuman penjara pembuat bom dalam serangan bom di Bali yang membunuh 202 orang – membolehkan dia bebas dalam masa beberapa hari jika diberikan parol.

    Keputusan terbaharu ke atas Umar Patek menjadikan hukumannya kurang kepada hampir dua tahun, bermakna dia boleh dibebaskan menjelang ulang tahun ke-20 pengeboman itu pada Oktober.

    “Ini akan menambah derita warga Australia yang keluarga mereka adalah mangsa pengeboman Bali,” Perdana Menteri Anthony Albanese memberitahu Channel 9. “Kami kehilangan 88 orang warga Australia dalam pengeboman itu,” tambahnya.

    Albanese mengatakan beliau akan terus ‘memberikan gambaran diplomatik’ mengenai hukuman Patek dan beberapa isu lain kepada Indonesia, termasuk warga Australia yang dipenjarakan di negara gugusan kepulauan itu.

    Albanese menjelaskan Patek ‘amat dibenci.’

    Gambar fail Patek semasa tiba untuk satu perbicaraan di mahkamah daerah di Jakarta. – AP

    “Perbuatannya adalah tindakan pengganas,” kata Albanese memberitahu Channel 9. “Keputusan itu agak menyakitkan bagi keluarga Australia yang mengalami trauma berterusan di sini.”

    Indonesia sering memberikan pengurangan hukuman penjara kepada banduan pada hari-hari cuti utama seperti Hari Kemerdekaan Negara yang berlangsung pada Rabu lalu.

    Patek menerima pengurangan lima bulan hukuman kerana berkelakuan baik dan boleh bebas bulan ini dari Penjara Porong di Jawa Timur jika dia mendapat parol, kata ketua pejabat wilayah bagi Kementerian Undang-undang dan Hak Asasi Manusia, Zaeroji.

    Zaeroji, mengatakan Patek mempunyai hak sama dengan banduan lain dan memenuhi syarat kelayakan undang-undang untuk menerima pengurangan hukuman.

    Patek diberkas di Pakistan pada 2011 dan dibicarakan di Indonesia di mana dia disabitkan bersalah dalam 2012.

    Dia pada asalnya dijatuhkan hukuman penjara 20 tahun. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda