SYDNEY, 30 Mei – Agensi pengintipan Australia akan menjalani kajian semula terbesar mereka dalam beberapa dekad, umum pegawai hari ini, tatkala Canberra berusaha memperkukuhkan kuasa risikan di tengah kebimbangan meningkat mengenai keganasan dan campur tangan politik asing.
Seorang bekas ketua Pertubuhan Risikan Keselamatan Australia (ASIO) akan mempeloporkan siasatan itu, yang akan melihat pada cara-cara agensi risikan negara dan domestik berkongsi maklumat, sumber mereka dan undang-undang yang menguatkan kerja mereka.
“Ia akan menjadi kajian semula undang-undang risikan paling menyeluruh di Australia sejak Suruhanjaya Diraja mengenai Risikan dan Keselamatan pada tahun 1970,” kata Peguam Negara Christian Porter.
“Persekitaran keselamatan negara sering berubah dan adalah penting bagi kami memastikan agensi kami mempunyai alat dan rangka kerja yang diperlukan supaya menjadi efektif dan memenuhi fungsi utama dalam melindungi warga Australia.”
Laporan itu adalah langkah terbaharu dalam beberapa siri pembaharuan terhadap undang-undang pengintipan dan campur tangan asing yang diumumkan oleh Canberra pada tahun lalu, apabila ia memilih China sebagai isu tumpuan.
Perubahan dicetuskan oleh satu siasatan oleh Australian Broadcasting Corporation dan Fairfax Media yang mendakwa jutawan China sedang menggunakan sumbangan untuk memasuki parti politik Australia.
Pendedahan tersebut telah menjejas hubungan Canberra dengan Beijing, yang telah memberikan reaksi marah terhadap dakwaan campur tangan dan mencadangkan Australia bersikap terbuka jika ia mahu mempertingkat hubungan.
“Kami mempunyai ketua pengarah ASIO yang mengemukakan kepada jawatankuasa bahawa kami hidup dalam era pengintipan dan keganasan dan campur tangan dan pengaruh asing,” beritahunya kepada Sky News. – AFP