CANBERRA, AUSTRALIA, 2 JULAI – Australia merancang untuk mengurangkan separuh daripada jumlah kemasukan pelancong asing ke negara ini bagi mengekang risiko penyebaran virus ketika sebahagian negara kembali mengenakan perintah berkurung hari ini.
Australia akan mengurangkan had kemasukan dari 6,000 orang seminggu kepada 3,000 menjelang 14 Julai untuk mengurangkan kesesakan di pusat kuarantin terutamanya di hotel, kata Perdana Menteri Scott Morrison selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin negara dan wilayah.
Australia telah pun menguatkuasakan beberapa sekatan sempadan paling ketat di dunia yang bertujuan untuk mengekang penularan COVID-19 dari negara ini. Sekatan baharu itu akan menyukarkan lagi kemasukan lebih 34,000 warganegara Australia dan penduduk tetap yang terkandas di luar negara dan berdaftar dengan kerajaan untuk kembali pulang.
Kerajaan akan menyewa lebih banyak kapal terbang untuk menghantar pulang warganegara Australia, tetapi pengurangan had kemasukan pelancong asing mungkin akan berlanjutan sehingga tahun depan.
“Sekiranya terdapat apa-apa nasihat daripada pihak berkuasa kesihatan berkenaan dengan situasi virus di negara ini, kami akan mengubahnya mengikut panduan yang diberikan dengan pemantauan ketat tetap terus dilaksanakan,” kata Morrison kepada wartawan.
“Kami tidak mahu ianya terus berlanjutan,” tambahnya.
Hampir separuh penduduk Australia dikenakan perintah berkurung sejak minggu lalu berikutan penemuan kluster varian yang mudah menular.
Sekatan di beberapa bandar di negara bahagian Queensland dan Wilayah Utara mula dilonggarkan. Bagaimanapun Ibu kota Queensland Brisbane dan kawasan Moreton Bay yang berdekatan akan terus dikenakan perintah berkurung sehingga Sabtu selepas seorang ibu dan anak perempuannya diuji positif di Brisbane. – AFP
